Oleh Dr. Ubaidullah Mustaffa
Catatan Pengalaman: Christchurch Sebagai Contoh Negara Berkebajikan
Saya dan keluarga tiba di New Zealand semasa musim luruh. Pada waktu itu cuaca tidak begitu sejuk lagi. Kerajaan New Zealand melalui agensi-agensi kebajikannya telah menemui saya di sebuah masjid di New Zealand untuk menghulur bantuan sebagai persiapan menghadapi musim sejuk.
Saya memberitahu mereka bahawa saya baru sahaja tiba dari Malaysia dan rumah saya kosong tanpa perabut, katil dan tiada peralatan dapur. Tiga hari kemudian badan kebajikan milik kerajaan New Zealand telah menghantar ke rumah saya satu set sofa ruang tamu, dua unit TV 24”, tiga unit pemanas rumah, empat katil dan tilam lengkap dengan cadar, bantal dan selimut, peti ais, micro-wave oven, pinggan mangkuk, sudu, pisau dan bermacam-macam lagi.
Tidak pun sampai seminggu rumah saya lengkap segala-galanya secara percuma pemberian kerajaan New Zealand. Mereka membantu manusia tanpa mengira bangsa atau agama.
Terkenang saya pada negara sendiri. Tidak pernah saya menerima bantuan dan layanan seperti itu walau pun di negara sendiri. Kerajaan kita banyak bercakap tentang konsep negara kebajikan tetapi pelaksanaannya mungkin tidak sama dengan konsep yang dicanangkan.
Elok juga kita mengkaji New Zealand sebagai salah satu model negara kebajikan terhadap rakyat. Oleh kerana New Zealand agak luas maka saya akan memilih bandaraya Christchurch sebagai contoh dalam perbincangan model negara kebajikan.
Christchurch adalah sebuah bandaraya terbesar di Pulau Selatan New Zealand dalam Daerah Canterbury. Jika dibandingkan dengan seluruh New Zealand Christchurch adalah bandaraya kedua paling ramai penghuni di New Zealand iaitu hampir 864 orang setiap kilometer persegi.
Perbualan saya dengan penduduk tempatan Christchurch mendapati kejadian gempa bumi bukan perkara biasa di sepanjang kehidupan mereka di Christchurch. Walau pun New Zealand berada dalam garisan lingkaran api bersama-sama dengan Indonesia dan Jepun tetapi Christchurch tidak pernah mengalami gempa bumi sehingga kejadian pertama gempa bumi pada bulan September 2010.
Bantuan kerajaan
Kerajaan New Zealand membantu secara konsisten setiap rakyat mereka yang ditimpa bencana gempa bumi. Mereka membina rumah-rumah di luar kawasan gempa bumi dan mempelawa rakyat mereka untuk menyewa dan terus membeli rumah-rumah tersebut dengan harga yang sangat berpatutan iaitu lebih rendah dari harga pasaran semasa.
Rancangan penempatan semula disusun dan dikawal dengan rapi. Tidak ada individu atau syarikat yang cuba mengambil kesempatan membuat keuntungan dengan menangguk di air keruh. Harga rumah akan melambung tinggi sekiranya terdapat ahli politik atau kroni mereka yang mendapat kontrak untuk membina rumah-rumah penempatan semula gempa bumi.
Mari kita perhatikan apa yang telah berlaku di negara kita semasa bencana tsunami dan banjir dahulu. Bantuan lambat sampai dan proses bantuan tidak konsisten. Bantuan yang dihulurkan berbentuk jangka pendek sahaja dan tidak menyeluruh. Kerajaan Malaysia menganggap bencana alam negeri-negeri di bawah pimpinan pembangkang bukan tanggungjawab mereka.
Kerajaan New Zealand sanggup melupakan segala perbezaan politik apabila menghadapi bencana alam. Kerajaan New Zealand sangat sayang setiap rakyat mereka tanpa megira ugama atau bangsa. Kewujudan perasaan kasih sayang ini adalah perbezaan besar di antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan New Zealand di dalam merealisasikan sebuah negara kebajikan.
Apabila wujud perasaan kasih sayang terhadap rakyat maka negara kebajikan akan diterjemahkan dalam setiap tindakan yang dibuat oleh kerajaan. Tanpa kasih sayang terhadap rakyat maka negara kebajikan hanya wujud sebagai konsep sahaja. Kerajaan akan menindas rakyat secara sah dari segi perlembagaan dan perundangan seperti mana di buat oleh penjajah semasa zaman penjajahan.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa masyarakat kita pada hari ini dijajah dan ditindas oleh rakyat negara kita sendiri yang telah dipilih melalui sistem pilihanraya. Setelah mereka diberi kuasa melalui pilihanraya mereka akan mula menjajah dan menindas rakyat yang telah memberi mereka kuasa. Sikap ini mungkin berlaku secara sedar atau tidak sedar atau kedua-duanya sekali. Maka perlu ada satu sistem check & balance supaya kerajaan yang dipilih tidak akan menjajah dan menindas rakyat mereka sendiri.
Pada 4 September 2010, Christchurch digegarkan oleh gempa bumi berukuran 7.1 iaitu hari Sabtu pukul 4.35 pagi waktu tempatan. Gempa bumi ini tidak menyebabkan kematian kerana pusat gempa adalah 40 km di luar bandaraya Christchurch, hanya kerosakan sistem paritan, paip air, jalanraya dan gangguan bekalan letrik sahaja.
Hospital Christchurch terpaksa menggunakan generator kerana bekalan letrik terputus pada waktu itu. Darurat dan perintah berkurung telah diistiharkan untuk menjaga keselamatan dan kerja-kerja pengosongan bangunan di sekitar bandaraya Christchurch. Lapangan terbang antarabangsa Christchurch ditutup sementara menanti pemeriksaan keselamatan jalan pendaratan dan perlepasan kapalterbang.
Dalam tempuh 48 jam selepas itu terdapat tiga lagi gempa bumi berukuran 5.2 berlaku di Christchurch. Mengikut pengalaman saya, gempa bumi 5.2 adalah cukup kuat untuk merasai seluruh rumah bergegar dan cukup kuat untuk mengejutkan saya sekeluarga dari tidur yang nyenyak.
Selalunya gempa bumi datang bersama-sama dengan bunyi yang kuat seperti bunyi keretapi kargo membawa muatan berat. Perbezaannya ialah bunyi gempa bumi amat menakutkan kerana bunyi itu dikaitkan dengan kebinasaan dan kematian. Jika gempa bumi lebih kuat berlaku kita akan terdengar bunyi letupan kuat seperti letupan bom berlaku serentak dengan gegaran bumi.
Gempa bumi yang berlaku beberapa saat mungkin tidak sempat meruntuhkan sebuah bangunan kuat, tetapi jika berlaku beberapa minit maka bahan binaan bangunan akan menjadi longgar dan runtuh. Kadang-kadang mentol lampu gugur dari siling ke lantai setelah beberapa hari gempa bumi berlaku.
Penduduk tempatan memberitahu saya, jika gempa bumi berlaku melebihi 10 saat, lebih baik mengajak ahli keluarga berlindung di bawah meja untuk mengelak dari ditimpa bahan binaan yang runtuh. Elok juga menyediakan lampu suluh selalu kerana jika bekalan letrik terputus, mangsa gempa bumi tidak tinggal dalam kegelapan. Saya tidak menyediakan lampu suluh kerana telefon bimbit saya memang mempunyai lampu suluh. Gempa bumi berukuran kecil selalu dapat dirasai di Christchurch.
Gempa kedua
Gempa bumi yang kedua berukuran 6.3 berlaku di Christchurch pada 22 Febuari 2011, jam 12.51 petang. Dari segi ukuran gempa bumi ini tidak sekuat gempa bumi pada bulan September 2010 iaitu 7.1 tetapi gempa bumi inilah yang banyak meragut nyawa serta memberi kerosakan yang teruk pada Christchurch.
Gempa bumi ini kena tepat pada pusat Bandar Christchurch dan sekaligus meranapkan pusat Bandar Christchurch yang menjadi pusat utama ekonomi dan pelancongan Christchurch. Yang tinggal hanyalah bandar-bandar kecil yang dahulunya menyokong bandaraya utama Christchurch seperti Riccarton, Tower Junction, Addington dan Bush Inn.
Gempa bumi ini kuat kerana pusat gempa bumi berlaku sangat dekat dengan bandaraya Christchurch iaitu di Lyttelton yang terletak hanya 10 km dari bandaraya Christchurch pada kedalaman hanya 5 km dalam perut bumi. Kesannya ialah gegaran yang sangat kuat sehingga menyebabkan bangunan runtuh menghempap dan menimbus manusia hidup-hidup.
Persatuan Islam
Persatuan Islam Canterbury yang berpusat di Masjid Annur menghulur bantuan tenaga dan wang ringgit untuk kerja-kerja menyelamat di tempat runtuhan. Kebetulan pula Masjid Annur terletak dalam kawasan pusat perdagangan utama Christchurch iaitu di Deans Avenue bersebelahan Hagley Park yang menjadi kebanggaan penduduk Christchurch.
Kalau penduduk di London berbangga dengan Hyde Park maka penduduk Christchurch sangat berbangga dengan Hagley Park. Kawasan Central Business District di Christchurch terletak dalam kawasan yang di kelilingi oleh Bealey Avenue, Fitzgerald Avenue, Moorhouse Avenue dan Deans Avenue.
Masjid Annur mempunyai tanah kosong lebih kurang setengah ekar yang dicadangkan untuk membangun bilik-bilik sewa untuk musafir Islam yang merantau ke Christchurch dan juga pusat pengajian Quran, Hadis dan Tahfiz. Setakat ini Masjid Annur sedang menanti sumbangan tempatan dan juga antarabangsa untuk membuat pembangunan tersebut.
Apa yang menarik dan istimewa ialah Masjid Annur memberi izin kepada mangsa gempa bumi untuk mendapat perlindungan di tanah kosong masjid dengan mendirikan khemah-khemah serta menyediakan makanan percuma pada mangsa. Harga makanan siap di Christchurch adalah agak mahal tetapi hasil sumbangan derma umat Islam Christchurch dan mereka masak sendiri untuk menjamu mangsa gempa bumi membuatkan kos makanan rendah serta ramai mangsa mendapat manfaat tanpa mengira ugama atau bangsa.
Namun begitu terdapat satu siaran TV swasta yang menyiarkan berita negatif tentang penganiayaan orang Arab Kristian di Mesir oleh orang Islam Arab Mesir. Terdapat juga pelekat kereta yang berbunyi PRAY FOR OUR CHRISTIAN BROTHERS IN EGYPT, yang menghasut orang ramai dengan menggunakan sentiment ugama.
Boleh dikatakan masyarakat New Zealand tidak gemar bermain sentimen ugama atau bangsa kerana kedua-dua sentimen ini boleh mencetus huru-hara dan pergaduhan. Kesannya ialah semua pihak akan rugi.
Tiada anjing liar
Saya dan keluarga dapat beriadah di Hagley Park tanpa perlu takut dikejar oleh anjing liar. Saya juga dapat berjalan kaki ke Masjid Annur awal pagi untuk berjemaah subuh tanpa perlu bimbang diserang hendap oleh kumpulan anjing liar. Apa yang saya perhatikan ialah Christchurch sangat menjaga keselamatan bandaraya Christchurch dari gangguan bahaya anjing liar. Tidak ada anjing liar walau pun seekor.
Keistimewaan bandaraya Christchurch ini tidak dapat kita nikmati di Malaysia. Walau pun mengalami bencana gempa bumi yang kuat tetapi masalah anjing liar masih dapat dibasmi terus.
Masalah anjing liar perlu dibasmikan kerana anjing liar adalah punca kepada penyakit anjing gila dan juga serangan merbahaya kepada manusia terutamanya kepada kanak-kanak. Boleh dikatakan hampir setiap taman perumahan di negara kita mempunyai masalah anjing liar yang tidak dibasmikan. Masalah anjing liar tidak boleh dikawal lagi tetapi perlu dibasmikan demi keselamatan awam. Kejayaan bandaraya Christchurch membasmi masalah anjing liar perlu dicontohi oleh setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara kita.
Kakitangan PBT yang terlibat dalam pembasmian anjing liar perlu dibawa ke bandaraya Christchurch untuk melihat sendiri dan merasai sendiri betapa aman dan damainya keadaan tanpa anjing liar berkeliaran. Barangkali selepas merasai sendiri betapa selamatnya suasana kehidupan tanpa bahaya anjing liar akan timbul sifat kesungguhan untuk membasmi anjing liar di kawasan PBT masing-masing.
Makanan murah
Walau pun harga makanan siap di Christchurch adalah mahal tetapi harga bahan mentah makanan masih murah jika dibandingkan dengan negara kita. Harga daging lembu dan kambing segar lagi berkualiti masih rendah dari harga di Malaysia. Segala jenis sayuran di Christchurch adalah segar dari ladang dan yang istimewanya ialah harga segala jenis sayuran adalah jauh lebih murah dari Malaysia. Bagaimanakah Christchurch dapat mengeluarkan bahan makanan yang murah berbanding dengan negara kita?
Jawapannya terletak kepada cara Christchurch mengeluarkan hasil pertanian. Christchurch tidak mengamalkan sistem feedlot untuk pengeluaran daging lembu dan daging kambing tetapi menggunakan sistem pertanian pastoral yang canggih.
Sistem feedlot yang menjadi pilihan kepada cara pengeluaran hasil ternak di Malaysia sebenarnya mempunyai kos yang tinggi berbanding dengan system pertanian pastoral. Sistem pastoral memberi makanan yang lebih asli, segar dan sihat kepada ternakan berbanding dengan makanan dalam sistem feedlot.
Masalah kekurangan keluasan tanah boleh diimbangi dengan menggunakan pastoral bermutu tinggi serta pengurusan pastoral yang berkesan. Penyelidikan pertanian yang telah saya lakukan di beberapa ladang dalam daerah Canterbury menggunakan kaedah yang sama dalam teknik pengeluaran hasil ternakan. Yang penting di sini ialah input pertanian mesti rendah supaya output yang dihasilkan tidak terhakis oleh input yang tinggi.
Selepas membuat beberapa penyelidikan pertanian di Christchurch saya dapati cara pengeluaran hasil ternakan di Malaysia perlu direvolusikan iaitu menukar dari cara feedlot kepada pastoral.
Infrastruktur feedlot yang sedia ada tidak perlu dirobohkan kerana masih boleh digunakan
walau pun kita menggunakan sistem pastoral. Saya sempat menimba ilmu dari petani Christchurch tentang cara-cara menyediakan tanaman pastoral dan pemilihan benih untuk pastoral yang bermutu tinggi. Mereka juga telah mencurahkan ilmu mereka kepada saya tentang pengurusan pastoral secara saintifik demi menghasilkan livestock yang bermutu tinggi dan kos pengeluarannya pula adalah murah.
Pertanian adalah punca ekonomi utama Christchurch dan juga seluruh New Zealand. Negara New Zealand maju dalam industri Agribusiness tanpa perlu slogan yang bukan-bukan oleh pihak kerajaan New Zealand. Industri agribusiness di Malaysia perlu kepada sebuah revolusi berasaskan ilmu yang digabungkan dengan keperluan amali serta tuntutan pasaran semasa.
Jika tidak harga bahan makanan akan terus meningkat seperti yang sedang berlaku sekarang di Malaysia. Apabila harga bahan makanan meningkat maka kerajaan sepatutnya mengkaji semula di mana salah silap serta membuat pembetulan dalam dasar pertanian negara. Jika sesat kembali ke pangkal jalan.
Musim sejuk
Christchurch terletak di hemisphera selatan bumi. Ini bermakna setiap tahun bulan Jun, Christchurch akan mengalami musim sejuk manakala negara-negara Eropah di hemisphera utara bumi sedang mengalami musim panas. Apabila musim sejuk tiba Masjid Annur akan menerima sumbangan baju sejuk dari orang ramai yang memerlukan baju sejuk percuma.
Segala jenis pakaian musim sejuk akan diletakkan dalam kotak tepi pintu keluar masjid. Sesiapa yang memerlukan pakaian boleh memilih untuk keperluan masing-masing. Selain dari pakaian terdapat juga umat Islam yang menyumbang buah tamar dan buah anggur untuk para Jemaah masjid.
Waktu subuh masuk pukul 6.15 pagi tetapi para Jemaah subuh menunaikan solat subuh jam 7.00 pagi. Masjid Annur penuh dengan para Jemaah subuh walau pun cuaca sangat sejuk dalam kegelapan pagi musim sejuk di Christchurch. Terdapat ramai pelajar Malaysia yang sedang mengikuti kursus perubatan ikut serta menjadi Jemaah sembahyang subuh di Masjid Annur. Selain dari itu terdapat juga ahli Jemaah subuh dari Somalia, Mesir, Afrika dan juga Singapura.
Harga kereta murah
Satu lagi perkara yang menarik di New Zealand ialah harga kereta yang sangat murah berbanding dengan negara kita Malaysia. Harga kereta akan menjadi mahal apabila kerajaan gagal mengawal harga kereta dalam pasaran. Kereta merupakan keperluan rakyat dan bukan barang mewah. Setiap rakyat memerlukan kenderaan untuk bergerak.
Kerajaan New Zealand menyedari hakikat ini lantas mengawal harga kenderaan supaya semua rakyatnya mampu membeli kenderaan. Kesannya ialah rakyat New Zealand jarang-jarang menjadi penghutang bank untuk membeli kereta kerana mereka mampu membeli kereta secara tunai.
Ramai pelajar Malaysia di New Zealand telah membeli kereta secara tunai. Mereka dapat pergi belajar di Universiti dengan selesa serta mengatur jadual waktu pengajian dengan lebih berkesan. Malangnya, apabila mereka kembali ke Malaysia kelak mereka pasti akan terjebak dengan masalah harga kereta yang mahal di Malaysia serta terpaksa berhutang dengan institusi kewangan untuk membeli kereta. Mereka akan dibebani hutang membeli kereta selama 5 tahun hingga 7 tahun. Jelas sekali negara kita Malaysia di bawah pimpinan kerajaan BN gagal untuk menangani isu harga kereta yang melambung tinggi.
Kerajaan sedia ditegur
Satu lagi perbezaan yang ketara ialah kerajaan New Zealand bersedia menerima teguran dari rakyat. Mereka amat mengalu-alukan teguran dan pendapat rakyat. Kerajaan New Zealand tidak pernah ugut rakyat mereka untuk ditahan polis atau dikenakan tindakan undang-undang.
Kerajaan New Zealand tidak menggunakan instrument kerajaan untuk membalas dendam terhadap rakyat atau mengajar rakyat. Demonstrasi jalanan berlaku juga di Auckland dan Christchurch tetapi kerajaan New Zealand melayan petunjuk perasaan dengan baik. Tidak ada petunjuk perasaan ditembak gas pemedih mata atau water cannon.
Tidak ada peperangan antara kerajaan dengan rakyat. Kerajaan New Zealand sangat menghormati perasaan seluruh rakyat mereka. Alangkah baiknya jika kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencontohi sikap murni ini. Sikap murni ini dapat menjalin kasih sayang antara kerajaan dengan rakyat dan bukan permusuhan atau dendam kesumat. Perlu diingat bahawa anggota kerajaan juga adalah rakyat dan rakyat yang memilih mereka menjadi anggota kerajaan. Perhubungan antara kerajaan dan rakyat perlu berasaskan kasih sayang dan bukan perundangan semata-mata.
Kesimpulan
Christchurch adalah sebuah bandaraya yang agak malang kerana dilanda bencana gempa bumi. Walau pun begitu rakyatnya cepat bangun dari runtuhan gempa bumi untuk meneruskan kehidupan. Sekarang ini Majlis Bandaraya Christchurch sedang mengedarkan risalah pada semua penduduk Christchurch meminta pandangan dan maklumbalas terhadap pembinaan bandaraya baru Christchurch. Mereka meminta pandangan dari rakyat mereka untuk mengetahui apa yang rakyat mahu ada dalam bandaraya baru yang bakal dibina tidak lama lagi.
Mereka menghadapi bencana dalam kata sepakat dan kerjasama yang sangat indah untuk bangun semula membina kehidupan baru. Mereka faham bahawa dalam runtuhan gempa bumi itu ada rahmat dan peluang yang sedang menanti mereka. Rahmat dan peluang akan datang ke Christchurch bagi mereka yang sabar dan bijak membina peluang selepas runtuhan gempa bumi.
Kerajaan New Zealand melibatkan rakyat dalam proses pembangunan negara dan mereka tidak memaksa rakyat menerima pembangunan ciptaan kerajaan semata-mata. Penglibatan rakyat diperlukan kerana rakyat adalah pelanggan utama kerajaan. Penglibatan rakyat secara menyeluruh sebenarnya adalah salah satu resipi utama di dalam mewujudkan sebuah negara kebajikan.
Semasa Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri dahulu beliau melibatkan rakyat semasa melancarkan projek Proton Saga sebagai kereta buatan Malaysia walau pun semua rakyat Malaysia tahu bahawa kereta buatan Malaysia hanya gimik pada nama sahaja. Rakyat Malaysia sangat gembira melibatkan diri dengan pertandingan memberi nama pada kereta tersebut.
Setelah itu Dr. Mahathir membina Putrajaya tanpa penglibatan rakyat. Maka berlaku penolakkan oleh rakyat sebagai projek membazir dengan tuduhan untuk kenyangkan para krooni dan ahli-ahli politik yang menyokong kerajaan. Tuduhan tersebut mungkin benar dan mungkin tidak benar tetapi kebarangkalian tetap wujud dalam mana-mana projek pembangunan. Lebih-lebih lagi rakyat melihat ahli-ahli politik penyokong kerajaan menjadi kaya raya dalam sekelip mata.
Hampir semua kerajaan di dunia ini akan mencanangkan konsep negara kebajikan sebagai modal kempen politik untuk menang pilihanraya tetapi rakyat akan menilai siapa yang mempunyai kasih sayang dan keikhlasan jiwa untuk melaksanakan konsep negara kebajikan.
Rakyat akan menilai sejauh manakah kerajaan Malaysia yang memimpin negara sekarang benar-benar jujur dalam pelaksanaan negara kebajikan. Rakyat sudah muak mendengar janji manis dan mahu melihat perubahan yang relevan ke arah pembinaan negara kebajikan demi faedah rakyat bersama.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Negara Islam adalah sebuah negara kebajikan. Negara yang mementngkan kebajikan rakyatnya. Lihat pemerintahn di zaman Khalifah Ar-Rasyidin. Kalau negara orang bukan Islam mengambil ciri-ciri kebajikan dalam negaranya bererti ia ikut Islam dan mengambil manfaat dari kebaikan yang ada dalam Islam. Malang bagi negara orang Islam yang tidak memanfaatkan kebaikan Islam untuk rakyatnya. Termasuk Malaysia...
PENULIS
Penulis kini tinggal di Christchurch, New Zealand. Beliau boleh dihubungi melalui email : ubaidi_script@yahoo.com.my. (IH)
0 comments:
Catat Ulasan