Strauss-Kahn didakwa cuba perkosa ditahan di penjara
NEW YORK: Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) Dominique Strauss-Kahn bermalam di penjara Pulau Rikers yang digeruni di sini malam kelmarin selepas didakwa cuba merogol seorang pekerja hotel serta berdepan hukuman penjara 25 tahun jika disabitkan.
Hakim Melissa Jackson diyakinkan pendakwa raya bahawa Strauss-Kahn, mungkin cuba lari ke Perancis menyebabkan beliau mengarahkan tertuduh ditahan di penjara dan menetapkan perbicaraan baru Jumaat ini.
Polis membawa keluar Strauss-Kahn dari pesawat Air France, Sabtu lalu, beberapa minit sebelum ia berlepas ke Paris.
Beliau ditahan bersendirian dalam bilik 3.5 meter panjang dan 4 meter lebar dan diberi katil asas, cawan minum, sabun, syampu dan ubat gigi.
Hanya tiga malam sebelumnya, Strauss-Kahn tidur di suite hotel mewah berharga AS$3,000 (RM9,133) sehari lengkap dengan bilik persidangan, ruang tamu, bilik mandi marmar dan sebuah bilik tidur dengan tilam saiz ‘king’ serta selimut bulu.
Strauss-Kahn didakwa menyerang seorang pekerja di suite Hotel Sofitel di Times Square, tengah hari Sabtu lalu. Sejak itu, kerjayanya semakin suram.
Peguamnya berkata dia tidak bersalah namun bakal kehilangan pekerjaan sebagai ketua IMF yang menerajui ekonomi dunia dan harapannya untuk bertanding dalam pilihan raya presiden Perancis April tahun depan hancur berkecai.
Strauss-Kahn, 62, dipindahkan ke Pulau Rikers selepas Jackson menolak permohonan diberi ikat jamin. Apapun, bilik tahanannya adalah antara 10 sel terkecil di kompleks Rikers.
Jurucakap Jabatan Pemulihan New York berkata, Strauss-Kahn juga disekat berinteraksi dengan tahanan lain walaupun dibenarkan keluar untuk bersiar-siar, bersenam atau menonton televisyen.
Ketua IMF itu kelihatan lesu dan tertekan dalam kemunculan mahkamah pertamanya awal pagi kelmarin ketika pendakwa raya memperincikan dakwaan serangannya ke atas pekerja hotel terbabit.
“Dia menyerang mangsa secara seksual dan cuba merogol. Apabila tidak berjaya, dia memaksa mangsa melakukan seks oral terhadapnya,” kata Penolong Peguam Daerah, John McConnell memberitahu mahkamah.
Peguam Strauss-Kahn dijangka membuat rayuan terhadap keputusan jaminan hakim dan ia mungkin menjadi isu penting dalam kes itu.
Jaminan akan memberi Strauss-Kahn, capaian lebih baik kepada peguam belanya dan membenarkannya tinggal di sini bersama isterinya, personaliti televisyen terkenal Perancis Anne Sinclair, sementara menunggu perbicaraan.
Tanpanya, dia mungkin berdepan tempoh menunggu panjang dalam sel penjara sengsara, keadaan yang dikatakan pakar mungkin menolaknya ke arah satu perjanjian pengakuan.
Ketika di Rikers, Strauss-Kahn kemungkinan dibenarkan tiga pelawat seminggu selain peguamnya dan akan diberi sejam sehari untuk bersenam. – Reuters
0 comments:
Catat Ulasan