Ahad, 22 Mei 2011

VIDEO DAN GAMBAR KEJADIAN TANAH RUNTUH DI ULU LANGAT-RUMAH ANAK YATIM

SEHINGGA pukul sebelas pagi tadi, usaha mencari dan menyelamat masih lagi dijalankan. Setakat ini 16 orang mangsa disahkan meninggal dunia.
VIDEO



GAMBAR-GAMBAR BENCANA











Pelajar tidak sangka runtuhan besar


KUALA LUMPUR: Kebanyakan penghuni Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat, tergamam dan tidak sempat melarikan diri daripada runtuhan tanah kerana kejadian berlaku terlalu pantas.


Ada antara mereka menyedari pergerakan tanah kecil di tebing bukit berhampiran bangunan dan tidak menyangka akan berlaku runtuhan besar, sekali gus meranapkan dewan serba guna dan merosakkan sebuah surau.
Penduduk kampung yang tiba awal di tempat kejadian juga menghadapi masalah mengeluarkan mangsa yang terselamat kerana hanya menggunakan cangkul untuk mengorek tanah runtuh serta tidak mampu mengangkut batu besar serta kesan runtuhan bangunan.

Kebanyakan mangsa berjaya dikeluarkan apabila pasukan mencari dan menyelamat tiba bersama jentolak serta kelengkapan lain. 

Mohamad Faizal Ismi, 17, adalah antara penghuni yang terselamat kerana sempat melarikan diri sebaik saja ternampak tanah runtuh di belakangnya dan menyaksikan beberapa rakannya tertimbus. 

Ketika kejadian, dia sedang sibuk menyiapkan kerja menghias pentas untuk majlis khas bersama Perbadanan Kemajuan Filem Negara (FINAS) yang dijadualkan jam 5 petang semalam.

Pelajar tahun lima, Mohamad Akmal Mohd Jafri, 11, turut terselamat daripada ditimbus apabila terlebih dulu dihempap sebuah basikal sebelum tanah runtuh menimpanya. 
Ketika kejadian, pelajar Sekolah Kebangsaan Tun Hussein Onn 2 itu yang mengikuti program motivasi hujung minggu di madrasah berkenaan berada berdekatan dewan sempat menyaksikan bangunan bergegar sebelum runtuh menimpanya.

Ibu mangsa, Marliza Sulong, 43, berkata, dia terus bergegas ke tempat kejadian sebaik mendapat panggilan mengenai tragedi yang menimpa anaknya itu yang menerima rawatan di klinik Batu 14, Hulu Langat, dekat sini. 

“Anak saya selamat dan cuma luka ringan di kepala serta anggota badan, tetapi cukup sedih melihat mereka yang terkorban,” katanya. 

Seorang saksi yang dikatakan paling awal tiba di tempat kejadian, Abdur Rahman Mohd Lazim, 43, terkejut apabila dua penghuni anak yatim berlari menemuinya meminta tolong.

Ketika itu, Abdur Rahman sedang bersiar di kawasan itu menunggang motosikal. 
“Dua penghuni menangis sambil berlari meminta tolong. Ketika sampai ke tempat mereka, saya nampak enam penghuni tertimbus merintih dan meraung sakit. Hanya bahagian wajah mereka yang kelihatan manakala badan ditindih batu, kayu dan tanah runtuh.

“Saya cuba membantu dengan menarik mereka keluar tetapi mereka meraung kesakitan. Beberapa minit selepas itu mereka terkulai, saya tak tahu sama ada masih hidup atau sebaliknya,” katanya. 

Seorang lagi penduduk, Azri Ashraf, 17, berkata, beliau mendengar mangsa menjerit meminta tolong dan melihat beberapa lagi tersepit di bawah pintu, meja serta kerusi. 

Azri yang sedang berehat di rumahnya terdengar bunyi pokok tumbang dan tanah runtuh yang kuat menyebabkan beliau keluar daripada rumah kerana bimbang berlaku apa-apa kejadian. 

“Saya naik ke bahagian atas kawasan perumahan dan terkejut melihat rumah anak yatim itu tertimbusApabila terdengar jeritan, saya terus turun ke bawah dan melihat beberapa mangsa seolah-olah tidak sedarkan diri kerana tersepit di pintu dan meja. Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana terlalu terkejut,’’ katanya. 


0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code