Khamis, 21 Jun 2012

KOPERAL TUDM MURTAD DAN PILIH BUDDHA SEBAGAI AGAMA

Seorang koperal Angkatan Tentera Udara Diraja Persekutuan Tanah Melayu telah meninggalkan agama Islam dan memeluk agama Buddha di dalam satu upacara di sebuah rumah berhala di Kuala Lumpur.

Sekalipun dirayu oleh ibu bapa dan kekasihnya serta pegawai pemerintah tentera, pegawai agama dan masyarakat Islam supaya dia jangan berbuat demikian, tetapi dia tetap dengan keputusannya dengan menyatakan: "Saya merasa senang saya telah memeluk agama yang telah saya hajat sejak bertahun-tahun lagi".

Utusan Melayu keluaran 29 Oktober 1962, telah menyiarkan beritanya dan diekori dengan beberapa lagi cerita mengenainya beberapa hari berikut.

Kuala Lumpur 28 Oktober (1962): Seorang koperal dalam Angkatan Tentera Udara Diraja Persekutuan Tanah Melayu, hari ini telah menukarkan agama Islamnya lalu memeluk agama Buddha. Dia ialah Koperal Ali bin Azizi 32 tahun, berasal dari Pulau Pinang.

Koperal Ali telah memeluk agama Buddha dalam satu upacara khas Buddha yang bernama Katiba di sebuah berhala Buddha di Ibu Kota.

Dalam masa menjalani upacara itu, seorang pegawai dari kedutaan Siam di Kuala Lumpur telah menyampaikan kepadanya sepucuk surat tauliah yang mengesahkan, beliau kini menjadi penganut agama Buddha yang sah.

Setelah menerima surat itu, koperal Ali telah duduk bersimpuh menyembah sami-sami Buddha yang menjalankan upacara Katina itu dengan menyusun jari dan mengangkatkan tangannya ke dada. Nama Ali Azizi kemudiannya di tukar kepada nama Ari Azizi.

Dengan upacara itu berakhirlah perbalahan Ari dengan pihak tentera dan rakan rakannya yang beragama Islam serta dengan keluarganya yang menentang keras cita-citanya menganut agama Buddha.

Juga berakhirlah sudah cita-cita Ari sejak 12 tahun yang lalu, untuk mencari satu agama yang sesuai dengan jiwanya.

Ari pernah masuk Kristian dan sembahyang di gereja, tetapi merasakan masih belum dapat mententeramkan jiwa dan mensucikan dirinya.

Dalam satu pertemuan dengan Utusan Melayu hari ini. Koperal Ari Azizi menceritakan "Saya telah mula cenderong kepada ajaran agama Buddha sejak berusia 12 tahun lagi. Malah pernah pergi ke berhala Cina di Pulau Pinang dan mengikuti upacara sembahyangnya, tetapi saya tidak tertarik kerana agamanya terlalu banyak tuhan."

"Setelah itu, saya telah berhenti pergi ke Berhala Cina, lalu pergi mengikuti sembahyang agama Kristian di gerejanya. Tetapi agama ini juga tidak dapat saya terima kerana adanya pepercahan dalam agama tersebut."

"Setelah 10 tahun lamanya mencari, maka barulah sekarang saya dapat memilih agama yang sesuai dengan jiwa saya".

Koperal Ari pernah pergi ke England dalam tahun 1959 untuk melanjutkan pelajaran dalam ketenteraan.

"Dalam tempoh dua tahun saya di sana, saya rasa seperti tinggal dalam neraka".

Menurut Ari, bapanya seorang yang paling taat kepada ajaran agama Islam telah menentang keras kehendaknya untuk memeluk agama Buddha.

"Pegawai pemerintah tentera juga telah datang untuk menasihati saya, malah pada satu ketika, pernah mereka membawa saya ke depan seorang kadi dan menyuruh kadi tersebut mengucapkan bahawa saya bukannya seorang Islam, tetapi kadi itu menyatakan bahawa dirinya tidak dapat berbuat demikian kerana ini adalah melanggar ajaran Islam

"Kawan-kawan saya telah mencerca saya kerana maksud saya itu, tetapi saya telah menerangkan berulangkali, bahawa saya tetap akan memeluk agama Buddha, meskipun apa yang akan terjadi ke atas diri saya".

Koperal Ari dengan wajah sedih menyatakan, "Orang tua saya dan sanak saudara lainnya, tidak mengaku saya sebagai anaknya dan tidak menerima saya lagi dalam keluarga kami itu, tetapi biarpun bagitu, sekarang saya merasa senang, saya telah memeluk agama yang saya hajat sejak bertahun lagi.

Koperal Ari juga mengumumkan, bahawa cita-citanya pada masa depan ialah untuk menjadi sami Buddha untuk berjuang demi kepentingan agama itu sebaik sahaja sebuah gereja buddha siap dibina tidak berapa lama lagi.

Sebelum menerima surat tauliah, Koperal Ari telah diberithau oleh pegawai kedutaan Buddha di sini, bahawa "Tuan boleh masuk dan keluar agama Buddha pada bila-bila masa tuan suka, agama Buddha tidak melarang umatnya masuk atau keluar dari agama itu".

PAKDOE ALLAN
ZAMKATA

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code