Ahad, 10 Julai 2011

KDN Perlu Tanggungjawab Atas Kematian Peserta Bersih



K
UALA LUMPUR 10 JULAI : PAS menegaskan Putrajaya perlu bertanggungjawab ke atas kematian seorang peserta Himpunan Bersih 2.0 semalam, kata Naib Presiden PAS Datuk Paduka Husam Musa.

Malah, PAS turut mengecam pendekatan pihak berkuasa dalam menangani perhimpunan itu yang disifatkannya sebagai “ganas”.

Husam berkata, Baharuddin Ahmad meninggal dunia akibat sesak nafas selepas terkena semburan air berasid dan gas pemedih mata di kawasan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Baharuddin, 58, seorang ahli PAS dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang semalam.

Beliau yang juga suami kepada Ketua Wanita PKR cabang Setiawangsa Rosni Melan itu sempat melarikan diri daripada terkena semburan air berasid dan gas pemedih mata sebelum pengsan.

Jenazah Baharuddin dijangka akan dikebumikan sebelum Zohor.

“Kita merakamkan rasa dukacita terhadap kematian salah seorang peserta yang terkena gas pemedih mata dan telah meninggal dunia, kita ada rakaman video itu dan kita boleh lihat bagaimana dia rebah dan tidak bernafas.

“Esok (hari ini) kita akan menunaikan solat jenazah Allahyarham dan kita harap kerajaan bertanggungjawab dan lakukan siasatan telus dan kemudian maklumkan bagaimana Baharuddin meninggal dunia,” kata Husam pada sidang media tergempar di ibu pejabat PAS lewat malam tadi kepada The Malaysian Insider.

Seramai 1,840 orang ditahan termasuk pemimpin Pakatan Rakyat semalam.

Menurut pemimpin Bersih 2.0 perhimpunan semalam disifatkan sebagai “satu kejayaan besar” dengan kehadiran lebih 50,000 peserta memberikan sokongan walaupun tidak dapat menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata hanya sekitar 6,000 orang hadir di pusat ibu negara.

Husam juga berkata, penahanan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuktikan polis mempunyai “agenda politik.”

“Kita dukacita dengan penahanan Presiden PAS dan seolah-olah polis mempunyai agenda politik, malah kenyataan ketua polis negara juga mirip agenda politik,” katanya.

Sementara itu, Hadi dalam kenyataannya selepas dibebaskan berkata sekiranya Barisan Nasional (BN) melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melaksanakan tuntutan Bersih 2.0 “kebangkitan lebih besar” akan berlaku.

“Tuntutan kita ini memberi gambaran aman dan damai dan bukannya ganas dan melampau. Penyokong Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat telah menunjukkan budaya demonstrasi yang baik, walaupun diprovokasi pihak polis, mereka tetap bersabar.

“Di samping itu, kita memberi amaran kepada kerajaan BN, bahawa ini mukadimah kepada kebangkitan rakyat dan jika sekiranya mereka tidak sedia membuat perubahan kepada pilihan raya dan demokrasi, bantahan dan kebangkitan lebih besar boleh berlaku bila-bila masa sahaja dan tidak semestinya sebelum pilihan raya tetapi juga selepas pilihan raya. Kita tunggu dan lihat respons kerajaan,” katanya.

Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Selain Hadi, pemimpin PAS yang turut sama ditahan ialah timbalan presiden Mohamad Sabu dan dua naib presiden iaitu Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Kesemuanya telah dilepaskan malam tadi.


0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code