sambungan dari...
Di antara beberapa banyak tuduhan dan fitnah yang telah dilemparkan oleh Datuk Mohammad bin Nasir terhadap parti PAS dan pemimpin-pemimpinnya adalah berhubung dengan tiga perkara yang tidak putus-putus disebutnya. Saya rasa dalam hal ini saudara-saudara sekalian memerlukan gambaran yang sebenarnya tentang perkara-perkara tersebut.
Tuduhan Pertama
Adalah soal Syarikat Timber Mine. Dalam tahun 1964 Kerajaan PAS Kelantan telah pun menganjurkan suatu rancangan untuk membangunkan ekonomi negeri Kelantan.
PAS sedar bahawa negeri Kelantan adalah salah satu daripada negeri yang termiskin di Semenanjung Malaysia ini. Adalah diketahui bahawa Kerajaan Kelantan tidak berkeupayaan untuk menyelenggarakan rancangan perekonomian yang memerlukan modal yang banyak khususnya di dalam menjayakan rancangan-rancangan tanahnya.
Negeri Kelantan pada hakikatnya mempunyai tekanan penduduk yang kuat oleh kerana hampir 65% bilangan penduduknya terdapat di dataran Kelantan atau 'Kelantan Food Plain' yang hanya berjumlah lebih kurang 18% sahaja dari muka bumi negeri Kelantan. Untuk mengatasi masalah tekanan penduduk ini, Kerajaan PAS Kelantan telah pun berusaha untuk membuka kawasan tanah yang luas di Kelantan Selatan. Oleh kerana kawasan yang digelar oleh orang-orang Kelantan 'tempat jin bertendang' ini sangat sukar untuk diusahakan maka sangatlah perlu dan penting diadakan prasarana yang secukupnya bagi menjayakannya. Kesemua ini memerlukan modal yang banyak dan hanya dapat dilaksanakan secara ekonomis dalam bentuk suatu projek yang besar.
Bagi menjayakan rancangan ini Kerajaan PAS Kelantan telah pun mengeluarkan kebenaran kepada sebuah syarikat bernama TIMBERMINE untuk mengeluarkan hasil kayu-kayan di dalam kawasan yang dicadangkan bagi pembangunan tersebut. Syarat-syarat yang dikenakan kepada mereka adalah syarat-syarat yang lazim dikenakan oleh Kerajaan, dan selain daripada itu mereka hendaklah membina jalan-jalan yang akan menjadi milik awam. Kawasan-kawasanawam seperti sekolah, hospital, masjid dan Iain-lain hendaklah juga disediakan oleh mereka mengikut jadual-jadual tertentu, termasuk juga pemberian biasiswa untuk bumiputera.
Syarikat tersebut telah disyaratkan supaya mengeluarkan hasil hutan dengan segera mengikut jadual dan mereka dikehendaki menyerah balik kawasan-kawasan tersebut kepada Kerajaan bagi membolehkan Kerajaan menjalankan projek-projek pembukaan tanah negeri di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan.
Bagi membuktikan bahawa syarikat ini mempunyai kesanggupan untuk mengusahakan rancangan ini, maka mereka dikehendaki membayar pendahuluan atau 'prepayment' kepada tribute yang mesti dikenakan oleh Kerajaan terhadap hasil kayu-kayannya. Ini telah pun dilakukan dan pihak Kerajaan PAS Kelantan telah menggunakan wang tersebut untuk kemajuan negeri. Usaha yang radikal inilah yang telah dilaung-laungkan oleh UMNO di dalam pilihan raya 1964 sebagai satu gadaian tanah oleh Kerajaan PAS Kelantan. Inilah dia 'senjata sulit' UMNO dalam usaha untuk menjatuhkan Kerajaan PAS di Kelantan.
Perkara ini telah pun dibawa ke Mahkamah Tinggi Persekutuan. Keputusan telah pun diberikan. Selain daripada mengakui bahawa tanah tersebut bukan digadai, Mahkamah juga telah melanggar (mendedahkan?) beberapa syarat-syarat perjanjian yang memungkinkan Kerajaan Negeri boleh membatalkan perjanjian itu, sekiranya pihak syarikat melanggarnya, tanpa melibatkan ganti rugi dan sebagainya.
Pada mulanya syarikat ini telah menjalankan usaha mereka dengan baik. Akan tetapi selepas beberapa waktu mereka telah menghadapi berbagai masalah di mana mereka telah melanggar beberapa syarat-syarat perjanjian dengan Kerajaan. Dengan hal yang demikian pihak Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Ishak Lotfi telah pun membuat rancangan bagi menarik balik kawasan tersebut. Usaha ini telah diteruskan selepas pilihan raya 1974 dan EXCO negeri Kelantan dibawah pimpinan Datuk Haji Muhammad bin Nasir telah pun membuat keputusan menarik balik kawasan tersebut TANPA SEBARANG GANTI RUGI. Di samping itu satu kawasan seluas 30,000 ekar dari kawasan itu telah pun disediakan untuk FELDA.
Kenyataan akhbar telah pun dikeluarkan oleh Datuk Mohammad bin Nasir sendiri pada tahun 1975 dan kesemua pihak khususnya PAS telah menyokong tindakan itu. Pemuda PAS Negeri Kelantan telah pun menyuarakan sokongan penuhnya kepada tindakan itu. Tetapi sebelum sempat keputusan EXCO itu dilaksanakan, Allahyarhamhu Tun Abdul Razak telahpun meminta supaya Kerajaan Negeri Kelantan berunding untuk membayar saguhati kepada syarikat tersebut bagi mengelakkan perkara ini berlanjutan di Mahkamah. Pihak EXCO Kelantan pada awalnya tidak setuju untuk berbuat demikian, akan tetapi bagi menjaga hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan akhirnya telah bersetuju berbuat demikian. Sesudah berunding beberapa lama maka saguhati sebanyak S3.5 million telah diberikan kepada Timbermine dan wang ini telah dipinjamkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan.
Manakala ini dilaksanakan, secara mendadak Datuk Haji Mohammad bin Nasir bersama-sama dengan beberapa orang tokoh-tokoh UMNO Kelantan telah mengisytiharkan kepada rakyat bahawa beliau telah menebus kawasan balak yang telah 'DIGADAI' oleh pemimpin-pemimpin PAS. Maka timbullah kembali 'Senjatasulit' UMNO yang pernah mereka gunakan dulu. Cuma kali ini diambil alih peranannya oleh orang PAS sendiri, Datuk Haji Mohammad bin Nasir namanya.Bukan itu saja; bahkan dituduh pula bahawa orang-orang PAS menentang
rancangannya mengambil kembali kawasan tersebut. Bukankah ini suatu penipuan sejarah namanya?
Tuduhan Kedua
Berkaitan Kawasan Membalak di Sempadan Kelantan-Perak yang sering dilaung-laungkan oleh Datuk Haji Mohammad bin Nasir. Konsesi ini telah diberikan kepada Syarikat Ric-Seng bagi mengeluarkan kayu-kayan. Syarat-syarat yang telah dikenakan kepada syarikat ini ialah selain daripada royalti yang biasa dikenakan kepada pembalak-pembalak, membayar tribute kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC) dan membayar prepayment tribute maka syarikat diwajibkan juga membina sebatang jalan raya kelas yang diiktiraf oleh J.K.R. menghubungi Sungai Siput di Perak dengan Gua Musang di Kelantan. Mengikut rancangan, jalan ini akan diteruskan oleh Kerajaan untuk menghubungi Kuala Krai di utara dan Kuala Lipis, Pahang di selatan. Perbelanjaan membina jalan ini pada ketika itu adalah dijangka akan menelan belanja berpuluh-puluh juta ringgit. Sekarang sebahagian dari jalan itu telah dibina.
Kerajaan PAS masa itu memang sedar bahawa kawasan itu merupakan satu kawasan yang punya potensi baik dari segi pembangunan, sebab itulah kawasan ini perlu dibuka. Tindakan yang praktis mestilah dilaksanakan bagi menjamin potensi growth-area
ini dimajukan. Kita tidak mahu kekayaan Mat Jenin dan kita tidak mahu rakyat kenyang di telinga, lapar di perut.
Masalah membalak di kawasan ini sebenarnya tidak timbul. Semasa kawasan ini diisytiharkan sebagai kawasan panas, memang wajar sekali Kerajaan membekunya. Tidak ada siapa baik PAS maupun UMNO yang menentangnya. Manakala keadaan mula tenteram semula dan kawasan-kawasan yang sama di Negeri Perak telah dibuka semula dengan kawalan khas, tidak ada siapa yan gambil pusing. Tidak bergerak air pun di kalangan orang-orang PAS Kelantan. Malah Datuk Mohammad bin Nasir dan EXCOnya sendiri telah mencairkan lebih kurang 20,000 kawasan membalak di kawasan tersebut beberapa bulan sebelum krisis Kelantan berlaku.
Yang pokoknya ialah masalah jalan. Jalan ini sebenarnya adalah jalan yang dulunya dirancangkan oleh Kerajaan Persekutuan sendiri bagi menghubungi Sungai Siput di Perak dengan Gua Musang di Kelantan. lanya juga merupakan jalan 'TIMUR-BARAT' yang asal dan dirancangkan untuk menghubungi tiga penjuru, Kuala Berang, Trengganu di Timur, Kuala Lipis, Pahang di Selatan dan Kuala Krai, Kelantan di Utara. Sampai sekarang ini minat Kerajaan terhadap jalan ini masih ada walaupun jalan Timur-Barat telah dipindahkan ke Utara, menghubungi Jeli dengan Grik.
Manakala keadaan keselamatan sudah mula baik maka adalah munasabah usaha membina jalan tersebut diuruskan semula, bukan sahaja bagi tujuan ekonomi negeri, malah bagi tujuan memudahkan pergerakan anggota keselamatan dan juga usaha-usaha Kerajaan mengumpul kumpulan-kumpulan orang-orang asli di kawasan tersebut. Langkah ini memerlukan persetujuan pihak Kerajaan dan Jawatan Kuasa Keselamatan Negeri Kelantan. Persoalan ini telah ada dalam pengetahuan Kerajaan Pusat sendiri.
Saya sendiri telah membincangkan hal ini dengan Datuk Mohammad bin Nasir dan beliau bersetuju untuk menimbangkannya. Apa yang anehnya ialah sesudah perkara undi tidak percaya terhadapnya menjadi heboh, beliau mulai melempar berbagai-bagai fitnah terhadap diri saya dan juga PAS Kelantan termasuk ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan dari PAS dengan gambaran seolah-olah semua mereka ini mempunyai kepentingan diri dalam masalah ini. Kenapa suara sumbang ini tak dilaungkan ketika kedudukannya belum tercabar.
Sebenarnya perusahaan kayu-kayan adalah merupakan sumber hasil kerajaan-kerajaan negeri yang lumayan dan telah menjadi amalan biasa bagi kerajaan-kerajaan negeri mengeluarkan hasil hutannya secara sistematik di mana-mana negeri yang luas kawasan hutannya, lebih-lebih lagi Kelantan selain dari kekurangan hasil, memerlukan pula projek pembangunan tanah bagi rakyatdengan suatu dasar bahawa kayu-kayannya mestilah dikeluarkan lebih dahulu.
Tuduhan Ketiga
Adalah berhubung dengan Perbadanan Perusahaan Pertanian atau 3P. Pada tahun 1971 dan 1972 perusahaan tembakau di negeri Kelantan telahpun mengalami kemerosotan mutu yang sangat teruk. Pihak pembeli tembakau awet telah enggan membeli tembakau keluaran negeri Kelantan. Rakyat memprotes. Di samping itu Syarikat Malayan Tobacco atau MTC, pengeluar tembakau awet yang terbesar di Kelantan telah pun membuat keputusan untuk meninggalkan perusahaannya di Kelantan. Kesemua 14 buah stesen pengawet tembakau mereka akan ditutup mulai 1hb. Januari 1973. Keadaan ini sudah tentu akan mengancam penghidupan lebih kurang 60,000 penanam dan pekerja tembakau di Kelantan.
MTC sanggup untuk menjual stesen-stesen mereka. Akan tetapi tidak ada sebarang organisasi baik swasta maupun Kerajaan yang mampu dan bersedia untuk mengambil alihnya. Walaupun penutupan stesen-stesen itu bererti sebahagian rakyat Kelantan akan kehilangan pendapatan langsung (direct income) sebanyak lebih kurang RM12 juta setahun, hanya sebuah syarikat sahaja yang sanggup bertawakkal bagi memulihkan mutu tembakau di Kelantan dan mengambil alih semua stesen-stesen M.T.C. itu. Syarikat itu ialah apa yang dikenali sebagai 3P. Secara kebetulan salah seorang dari mereka itu ialah seorang ahli PAS.
Sesudah melalui perundingan akhirnya semua stesen pengawet tembakau M.T.C. bertukar tangan kepada 3P dengan bayaran pinjaman dari bank di mana SEDC sebagai penjamin. Pinjaman sebanyak RM2.839 juta itu sudah tentu kurang dari nilai rasmi ketika itu sebanyak RM8.1 juta.
Sungguhpun dalam tahun 1973 3P mengalami kerugian kerana cuaca dan Iain-Iain, tetapi tahun 1974 ia telah memperolehi keuntungan, dengan mutu tembakau naik kepada nilai 85%. Pada ketika inilah seorang Timbalan Menteri telah menghubungi 3P dengan mengatakan bahawa Tun Razak telah pun mengeluarkan arahan supaya 3P menjualkan 70% sahamnya kepada Kerajaan tau agensi-agensinya yang akan diberitahu kelak. Tetapi pihak 3P telah menolak oleh kerana mereka berpendapat 3P sebagai sebuah syarikat yang dimiliki 100% oleh bumiputera dan kesemua pekerja-pekerjanya juga bumiputera adalah bersesuaian dengan Dasar Ekonomi Baru Negara.
Bertolak dari titik inilah jalan yang akan ditempuh 3P mulai diranjau. Dari semua sudut ia berhadapan dengan berbagai masalah. Dan setelah melalui beraneka pancaroba maka akhirnya perusahaan yang dipegang oleh 3P ini dijalankan oleh S.E.D.C. sendiri.
Apa yang dibangkit oleh Datuk Mohammad bin Nasir dan rakan-rakannya ialah soal jaminan SEDC kepada bank. Sebenarnya jaminan itu diberi berdasar kepada kepentingan rakyat Kelantan yang sebahagian besar bergantung kepada perusahaan tembakau ini, di samping membantu perusahaan bumiputera sesuai dengan Dasar Ekonomi Baru.
Jaminan itu tidak jadi masalah kalau jualan secara tawaran yang telah dibuat dalam tahun 1976 dulu diterima oleh semua pihak termasuk pihak yang berkuasa mengeluarkan lesen dan quota tembakau. Sebab tanpa quota dan lesen itu tidak ada siapa pun yang telah membuat tawaran itu bersedia membeli stesen-stesen pengawet tembakau itu.
Persoalan ini belum sampai ke hujung lagi, mungkin mahkamah yang dapat menentukan atau langkah positif dari semua pihak akan mencapai penyelesaian yang saksama. Yang jelasnya tiada timbul soal mempertahankan orang perseorangan dan tidak ada kaitannya sama sekali soal 3P ini dengan soal undi tidak percaya kepada Menteri Besar.
Di akhir-akhir ini pihak pengarah 3P telah pun memberitahu SEDC melalui peguamnya bahawa mereka akan meminta Mahkamah melelong harta-harta 3P yang dipegang oleh SEDC. Di samping itu SEDC pula telah menjawab mengatakanbahawa jaminan yang diberikan oleh SEDC itu sebenarnya tidak sah.
Datuk Mohammad bin Nasir menyatakan bahawa ada golongan tertentu yang ingin menggulingkan beliau kerana takut kes 3P dibawa ke mahkamah. Pada pandangan saya jika kes ini dibawa ke mahkamah maka 3P akan gembira sekali. Untuk sekadar makluman ingin saya menyebutkan bahawa jaminan yang diberikan oleh SEDC kepada Hong Kong and Shanghai Banking Corporation semasa jaminan itu diperbaharui pada tahun 1975 telah ditandatangani oleh Datuk Mohammad bin Nasir sendiri.
Dari keterangan ringkas ini nyatalah perkara-perkara yang ditimbulkan itu telah dieksploitasikan bagi kepentingan politik musuh PAS. Kita bukanlah mewakili 3P atau mana-mana pihak, tetapi salah satu tugas kita adalah menyatakan kebenaran.
Seperti saudara-saudara maklum, bermacam-macam fitnah telah ditaburkan oleh lawan politik kita sejak tahun 1964 lagi, tetapi ianya reda sesudah peristiwa 13 Mei 1969. Manakala tiba pilihanraya 1974, di mana kita sudah berada dalam Barisan Nasional, golongan bebas bersatu telah mengambil alih peranan tersebut dengan cara yang tidak kurang kencangnya seperti tahun 1964. Namun rakyat tetap menolak fitnah itu, sebagaimana rakyat menolaknya pada tahun 1964 dan sebagaimana Mahkamah Rayuan Persekutuan pernah menolaknya menjelang pilihan raya 1969.
Kini tuduhan dan fitnah ditaburkan lagi, dan sekali lagi pemegang rolnya bertukar tangan. Kali ini oleh seorang Menteri Besar PAS. Oleh kerana itu ia makin panas, kerana tertuangnya dari orang penting PAS sendiri di mana para pengambil kesempatan yang terdiri dari lawan-lawan politik yang lama atau penyokong-penyokongnya, di mana orang-orang yang suka memfitnah dan mendengar fitnah, yang terdiri sama ada dari golongan yang menggelar dirinya bijak pandai atau orang biasa berpadu tenaga dan golongan mereka ini seiring jalan - selimbai tangan untuk menghancurkan bukan saja pengkalan tempat PAS bertapak, iaitu Negeri Kelantan, tetapi seluruh PAS itu sendiri.
Ini terbukti dengan usaha menubuhkan partai saingan PAS yang juga kononnya bercita-cita memperjuangkan Islam.
Maka tidaklah menghairankan jika penggembelingan hasutan dan fitnah ini begitu marak, laksana maraknya api yang membakar hutan rimba yang daun-daunnya gersang di tengah panas terik kemarau panjang.
Seluruh pemimpin PAS, termasuk saya sendiri dihina dan dicerca, nama baik diinjak-injak dengan penuh semangat dan kekejian yang tiada taranya. Semua 20 orang Ahli Dewan Undangan Negeri dan pimpinan Kerajaan dari PAS yang terdiri dari apa yang dinamakan kumpulan 20 itu adalah banjingan yang tidak boleh diampunkan lagi. Seluruhnya hitam. Seluruhnya?
Munasabahkah pada lojiknya, tiada seorang pun yang baik di antara mereka? Seluruhnya hitam legam. Sebaliknya seluruh mereka putih melepak. Dimanakah dalam dunia ini keadaan demikian boleh dipercayai.
Kempen-kempen yang dirancangkan beberapa lama, sejak tahun 1964 itu,menyebabkan kita hampir berani berkata, sudah hampir masak benar hinggameledak dengan hebatnya pada kali ini; malah kali ini diberikan asam garam danbelacan cabai dengan sebaik-baiknya setelah beberapa kali dicuba dan gagal.
Pada kali ini, peranan yang dimainkan di belakang tabir bukan lagi oleh tokoh-tokoh dari barisan bebas bersatu, bahkan sebahagian adalah tokoh-tokoh dalam UMNO. Adalah tidak mustahil tangan-tangan luar ikut menggerakkan jari-jemarinya memainkan peranan untuk melenyapkan perjuangan kita, perjuangan Islam, yang mutlaknya menentang apa saja bentuk dan watak kegiatan thaghut dan penjahanam pemikiran manusia di dunia.
Pada satu saat tertentu, sebelum, pada dan selepas pengundian tidak percaya dikemukakan terhadap Datuk Haji Mohammad bin Nasir, mereka hampir mencapai maksudnya, iaitu satu tahap di mana mungkin mereka boleh mengucapkan salam takziah kepada perjuangan Islam yang dipelopori oleh PAS. Tetapi mereka lupa bahawa Allah lebih berkuasa dari segala-galanya, dan saya ingin menegaskan di sini bahawa pihak-pihak tertentu akan menyesal dengan apa yang mereka lakukan, sesalan kemudian yang tiada berguna lagi.
Dalam gelanggang pembakaran semangat dan kancah hasutan fitnah itu,kita bersyukur kepada Allah kerana diberi taufiq dan hidayahNya sehinggakan sebahagian rakyat yang sedar bersama pengikut-pengikut PAS yang setia, tetap dalam iman dan kesabaran. Mereka tenang dan memandang semua itu tidak lain dari percubaan yang memanggil mereka menghadapinya dengan sabar, tabah dan waspada.
Kepada mereka saya ingin merakamkan ucapan tahniah yang tulus ikhlas. Juga kepada para pemimpin PAS yang dedikasi telah membuktikan bahawa mereka tidak pernah ragu-ragu untuk bertindak bagi memenuhi hasrat parti dan pengikut-pengikutnya, walaupun terpaksa mengosongkan jawatan-jawatan penting mereka dalam kerajaan baik di pusat atau di negeri-negeri. Saya juga ingin khususkan penghormatan ini terhadap sikap setiakawan sebahagian besar dari pimpinan kita dari atas hingga ke bawah yang terpaksa menghadapi gelombang dan taufan. InsyaAllah jika semangat ini berkekalan, PAS akan tetap utuh dan perjuangan Islam akan tahan dilambung gelombang walaupun para pemimpinnya silih berganti.
Sokongan-sokongan yang tidak berputusan dari para pengikut PAS dari seluruh negara kepada kita, kepada langkah dan tindakan kita, selama masa gawat ini berjalan, telah memberikan kekuatan yang bukan sedikit kepada kita untuk terus tegas dan tidak ragu-ragu terhadap apa saja bahana yang mendatang.
bersambung...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan