Rabu, 29 Ogos 2012

PERPADUAN UMAT ISLAM DAN BANGSA MELAYU SELEPAS ERA 70AN

sambungan dari...

Sekarang dengan rasminya PAS menjadi parti pembangkang, parti pembangkang yang terkuat di Malaysia, la kembali memegang peranan lamanya sesudah hampir 5 tahun ia berada dalam kerajaan. Sebagai sebuah parti pembangkang, sudah tentu ia akan berusaha dan bertindak dengan apa cara jua pun sesuai dengan ajaran Islam di dalam lingkungan perlembagaan negara bagi mencapai kemenangan yang lebih besar.

Kita sama-sama sedar, tiada parti politik yang tidak punya program untuk menjadi parti memerintah, sebab hanya melalui kuasa pemerintahan sajalah pemerintahan negara bukan pemerintahan negeri semata-mata dapat kita melaksanakan keseluruhan daripada objektif dan program parti. Saya kira hanya mereka yang baru bertatih dalam politik sahaja yang tidak mahu mengerti hakikat ini.

Kita sedar tentunya dalam proses penyampaian kepada hakikat ini maka peranan utama sebagai pembangkang ialah menjadi tenaga yang berkesan dalam tugas 'check-and-balance' untuk menjamin bahawa demokrasi dalam negara ini tidak diselewengkan. Kerana itu berperanan sebagai parti pembangkang tidaklah semudah yang difikirkan. la menghendaki kesungguhan dan ketabahan serta kejujuran yang tidak kurang sifatnya seperti waktu ianya menjadi parti yang memerintah. Nyatalah di sini bahawa perubahan tapak tempat terdiri dan peralihan tugas tidaklah mengurangkan kewajipan terhadap negara.

Adapun soal yang hangat diperbincangkan sekarang ialah tentang perpaduan umat. Apakah dengan perubahan fungsi PAS daripada parti pemerintah kepada pembangkang akan menimbulkan keretakan dan perpecahan di kalangan umat Islam dan bangsa Melayu?Mengikut YAB Datuk Perdana Menteri bahawa dengan keluarnya PAS dari Barisan Nasional, perpaduan orang Melayu tidak jejas. Sejauh mana benarnya pendapat beliau ini? Saya sendiri sewaktu ditanya oleh wartawan tentang kenyataan tersebut, dengan cara ringkas saya menjawab: "Untuk sementara waktu biarlah saya meminjam kenyataan Perdana Menteri itu".

Sesungguhnya hampir lima tahun lamanya rakyat telah digembelingkan dengan suatu pegangan bahawa ikut sertanya PAS dalam Kerajaan Campuran yang kemudiannya berubah menjadi Barisan Nasional adalah mengandungi makna yang amat dalam sekali, makna yang tersirat di sebalik kata-kata tersurat tentang kemantapan politik untuk keselamatan negara dan pembangunan ekonomi, sekali gus menimbulkan tanggapan yang penuh kesedaran dan keinsafan tentang kekuatan politik umat Islam dan bangsa Melayu serta keutuhannya, bukan untuk jangka pendek semata-mata, malah yang lebih utamanya untuk jangka panjang, atau dalam kalimah lain, untuk zaman depan.

Masyarakat majmuk atau 'plural society' yang wujud di Malaysia menolong mempertingkatkan daya fikir rakyat dalam membuat perhitungan dan penilaian yang sedemikian, maka tidaklah dapat disalahkan kepada rakyat bumiputera dan umat Islam jika mereka berpendapat bahawa perpecahan antara PAS dan UMNO sama sekali tidak menguntungkan malah mengkaburkan zaman depan mereka dan keturunannya.

Demokrasi seperti yang diamalkan di negara kita ini adalah satu sistem yang tidak mengenal ampun dan maaf, tidak mengenal tolak ansur, tidak mengenal belas kasihan, tidak mengenal nilai-nilai perasaan dari naluri suku kaum dan bangsa dalam kancah pergolakan perebutan kuasa.

Demokrasi yang diamalkan sekarang bukanlah satu sistem yang dapat menjamin terpeliharanya sifat-sifat naluri semula jadi itu; peranannya yang lebih utama ialah menjamin bahawa pertarungan perebutan kuasa dapat berjalan dengan sewajarnya di bawah hukum dan norma-norma susilanya sambil memberikan perlindungan agar hasil pertarungan itu terpakai dan dipakai.

Demokrasi ala-Barat punya banyak pentafsiran dalam memberikan nilai-nilai yang sungguh membingungkan seperti nilai politik kepada perebutan kuasa atau 'power struggle' serta membuka pintu approachnya kepada kaedah bahawa tujuan menghalalkan cara; yang sama saja ertinya untuk mencapai keadilan mestilah diperjuangkan walaupun melalui cara-cara kezaliman, perjuangkanlah kebenaran walaupun terpaksa melalui kebatilan. Inilah konsep approach yang pernah dijual oleh seorang plitikus barat yang terkenal dengan nama Machiavelle yang dinisbahkan kepada Machiavellisme. Kita seluruhnya berada dalam sistem dan suasana itu sekarang. Maka janganlah kita heran jika kita menyaksikan permainan 'power struggle' di mana-mana saja, dalam pemerintahan, dalam parti, antara parti-parti politik - pendeknya di semua lapangan.

Semenjak peristiwa 13 Mei 1969, kesedaran berpolitik di semua peringkat makin meningkat, daripada usaha menyelamat dan membangun sedikit demi sedikit berubah corak kepada suatu pertarungan perebutan kuasa yang makin lama makin sengit. Kehilangan pemimpin-pemimpin menyebabkan pertarungan itu makin meriah, justeru sistem demokrasi seperti yang diamalkan tidak pula pernah menekankan persoalan pembinaan pimpinan dan pemimpin. Biasanya pemimpin lahir di tengah-tengah pergolakan politik itu sendiri. Oleh itu apalah yang kita herankan jika perebutan kuasa itu bukan saja antara parti pemerintah dengan parti pembangkang bahkan ianya berlaku juga antara parti dengan parti yang sama-sama memerintah, malah lebih jauh dari itu ianya mungkin berlaku antara golongan dan tokoh-tokoh dalam sesebuah parti itu sendiri.

Sejak meninggalnya Tun Dr. Ismail yang kemudian diikuti oleh Tun Razak, dan kemudian daripada itu meninggal pula Tan Sri Albar - Singa UMNO, sedangkanD atuk Harun Idris terpaksa berhempas pulas diterunggu pengorbanan, maka UMNO menghadapi suatu kamelut pimpinan yang paling hebat dalam sejarahnya.

Dengan tidak menafikan kebolehan pemimpin yang ada sekarang, kemunculan tokoh-tokoh baru dan tokoh-tokoh muda di dalam medan perebutan kuasa cukup menarik perhatian. Sungguhpun parti PAS sendiri mungkin tidak boleh dikecualikan dalam soal ini, akan tetapi ianya tidaklah parah, masih boleh disebut lumayan justeru oleh kerana Islam sebagai tali pengikatnya cukup mampan untuk membantu anggota dan pengikutnya memberikan penilaian dan penghukuman. Oleh kerana UMNO dianggap dan menganggap dirinya sebagai parti terbesar dan parti berkuasa di negara kita ini, maka sebarang pergelutan 'power srtuggle' di dalamnya akan menimbulkan implikasi yang besar kepada struktur politik negara dan masyarakat.

Apa yang berlaku sekarang ini tentang perpecahan antara PAS dan UMNO adalah akibat lambungan ombak dari gelombang pertarungan itu. Kita sentiasa memerhatikan semua persoalan politik negara dengan cermat dan teliti, PAS menyertai kerajaan Campuran dan Barisan Nasional dengan penuh perhitungandan waspada dan kita dikeluarkan dari Barisan di tengah-tengah kesedaran dan kewaspadaan kita sendiri pada ketika mana mereka sedang kepanasan dan peluh meleleh dalam masa 'interlude'. Sekali lagi jangan kita merasa heran jika dalam suasana demikian orang sering lupa kepada persoalan pokok — persoalan zaman depan dengan bangsa dan agamanya — ya, persoalan perpaduan bumiputera mengikut istilah yang masih dipakai sekarang.

Kebimbangan rakyat bukan tidak berasas, perpecahan undi bumiputera dan umat Islam di dalam sesebuah kawasan pilihan raya yang kurang majoriti kita akan menyebabkan kawasan tersebut terlepas dari tangan kita. Perhitungan undi memang terlalu sensitif, malah lebih sensitif dari perhitungan menang kalah dalam 'pergelutan rebut kuasa'.

Kenapa perhitungan ini baru sekarang begitu menonjol? Padahal masalahnya bukan baru. Tatkala PAS bersama-sama dalam Barisan Nasional dulupun soal ini merupakan soal pokok dan soal hidup matinya kita.

Dasar Jus Soli dan kerakyatan belum dianggap basi, la tetap baru. Pendaftaran pengundi baru tahun ini tentunya ada kaitan; dan semacam suatu kebimbangan telah menular; kebimbangan yang punya asas dan punya sifat sendiri. Begitulah suasana sewaktu PAS di dalam yang boleh dianggap tenaga politik bumiputera dan umat Islam padu? Apalagi sekarang sesudah kita ditendang keluar?

Hendak ke mana kita ini sebenarnya? Saya gunakan perkataan 'KITA' di sini untuk bumiputera, Melayu, umat Islam seluruhnya. Cukupkah tahap perjuangan kita ke tahap BERKUASA sahaja? cukupkah kita dengan demokrasi yang ada untuk kita berkuasa? Sedangkan demokrasi yang kita bentuk dan kita pelihara tidak punya tenaga sendiri, tenaganya ialah rakyat, ialah pengundi. Malah KUASA juga tiada nilai sendiri, nilainya ialah pada cita-cita suci yang dipikulkan di atas tiap bahu kita oleh Allah SWT, yang mesti diperjuangkan dengan apa saja yang ada, jika tidak, berlakulah sunnah Allah.

dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) ia akan menggantikan kamu Dengan kaum Yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu. Muhammad : 38

Kini betapakah sikap yang harus kita ambil? Nasi sebenarnya belum menjadi bubur. Langkah-langkah positif masih terbuka. Meskipun PAS berada di kem lain dengan fungsinya yang berlainan, namun tiada siapa yang boleh menghalang kita dari mengambil langkah sederap dan sederup dalam menghadapi soal ini yang begitu serius dan sensitif. Jangan lupa tiada bunyi yang boleh terbit dari tepukan angin sebelah tangan.

PROGRAM POLITIK KE HADAPAN

Untuk menghadapi perjuangan yang makin seru dan hebat, PAS mestilah dengan penuh keupayaannya menyusun program dan strategi poiitiknya dengan rapi bagi menjamin kejayaan kita yang lebih besar. Di antara program itu ialah:

1) Menambah dan mempertinggikan kekuatan fahaman dan keyakinan politik Islamiah di kalangan anggota-anggota parti dan rakyat.

2) Menyusun semula organisasi dari peringkat atas sampai ke bawah sehingga ia benar-benar merupakan komponen-komponen yang boleh dicantumkan menjadi sebuah jentera yang tahan lasak sesuai dengan peranannya sebagai sebuah parti politik yang berkesan.

3) Menyusun dan memperkuatkan jentera pilihan raya bagi mencapai kemenangan yang maksima, berkesan serta menyeluruh dalam pilihan raya umum yang akan datang.

4) Memberikan perhatian serius kepada survival umat Islam di Malaysia khususnya di bidang politik di mana taburan kependudukan mereka adalah tidak seimbang antara satu negeri dengan satu negeri yang lain, dan antara satu kawasan pilihan raya dengan satu kawasan pilihan raya yang lain.

5) Memainkan peranan yang konstraktif dan bertanggungjawab sebagai pembangkang dalam parlimen dan dewan-dewan undangan negeri, kecuali Kelantan negeri yang kita kuasai, yang sedang dalam gantungan, dan di negeri Johor yang belum ada wakilnya.

6) Berusaha menjadikan PAS sebagai induk perpaduan umat Islam dan bangsa Melayu, tanpa melupakan amanat perpaduan dan pembangunan negara secara menyeluruh dan adil dari peringkat serendah-rendahnya hingga setinggi-tingginya terutama golongan yang tidak berada dan yang terbiar.

Inilah di antara program perjuangan PAS dalam jangka waktu yang tertentu yang mesti kita penuhi. Kejayaannya adalah bergantung kepada keteguhan iman serta kebulatan tekad dan azam kita, keuletan dan keberanian kita berjuang, kesabaran dan ketabahan kita dalam menghadapi sebarang dugaan dan cabaran dan kesediaan serta kesanggupan kita menerima sebarang risiko. Hanya dengan paduan keempat-empat ciri perjuangan ini sahaja parti kita akan mencapaikejayaan dengan izin Allah.

PENUTUP

Saya rasa selama kita pernah bermuktamar dan bermesyuarat agung, sama ada muktamar biasa atau muktamar khas, maka ucapan dasar yang saya sampaikan pada muktamar khas hari ini adalah yang terpanjang sekali. Saya memohon maaf kerana mengambil masa saudara-saudara begitu lama bagi menyampaikan ucapan ini. Saya mengambil kesimpulan bahawa adalah kewajipan bagi saya dengan secara terus terang menerangkan kepada saudara-saudara beberapa fakta dan selok-belok pergolakan politik parti dan negara agar sekali gus dapat kita seluruhnya memahami persoalan yang sama-sama kita hadapi sekarang.

Kita telah sama-sama memahami likunya perjalanan politik, musuh politik kita sejak dulu memainkan politik 'pecah kemudian perintah' atau 'divide and Rule'. Bukankah saudara-saudara sendiri telah mendengar dan mengikuti dengung-dengung suara sumbang sejak dulu lagi, seperti di Sabah "kita sayang USNO tapi kita tak mahu Tun Mustapha", demikian pada kita pula didengungkan juga "Kami mahu PAS tapi kami tak mahu Asri". Politik 'divide and Rule' ini adalah pusaka tua yang ditinggal oleh penjajahan dulu. Tapi rupanya keris tua itu masih terpakai juga. Hanya bergantunglah semata-mata kepada dapat atau tidak kita ditembusi oleh keris berkarat itu.

Jika iman kita tebal dan pengertian politik kita pejal, keris berkarat itu akan patah hujungnya. Jika tidak, lukalah kita, luka berbisa oleh padahnya karat-kara tkotor yang membawa merana sepanjang zaman. Apakah generasi Islam Malaysia yang akan datang akan menerima peninggalan sebuah munazzamah Islamiah yang sedang nazak atau sebuah munazzamah Islamiah yang segar dan sihat adalah bergantung kepada sikap kita sekarang.

Hari ini saya telah lahirkan pendirian dan pendapat saya. Selagi pendirian dan pendapat ini dapat diterima oleh saudara-saudara sekelian maka saya tetap bersedia meneruskan pimpinan PAS ini sehingga ke suatu muktamar di mana mungkin datang pengganti mengambil alih dengan persetujuan muktamar atau sehingga Allah menentukan qadha dan qadarnya.

Marilah sama-sama kita berserah kepada Allah untuk kebaikan dan keselamatan perjuangan kita. Amin.

-TAMAT- UNTUK ULANGI DARI MULA KLIK SINI

PAKDOE ALLAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan