Rabu, 29 Ogos 2012

DARURAT DI KELANTAN 1970AN GARA-GARA UMNO

bersambung dari...


Dalam masa tiga hari itu telah keluar kenyataan dari Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang menyatakan hasrat mereka mahu mengadakan pemerintahan ala-Mageran, surat-surat memanggil sidang khas Parlimen diedarkan dan mesyuarat khas Kabinet juga dipanggil.Tidak syak lagi segala-galanya bersifat ancaman yang pada asasnya untuk memusnahkan Kerajaan PAS Kelantan. Sebagai orang-orang yang memikul amanah rakyat dan amanah Allah dalam perjuangan menegakkan agama dan syariatnya, petugas-petugas PAS tidak merasa gentar menghadapinya, lalu pada masa yang dijanjikan pihak PAS telah menolak tempoh yang diberikan oleh Perdana Menteri. Penolakan ini adalah sebagai formaliti semata-mata, kerana penolakan yang sebenarnya telah dibuat sewaktu surat dari Jawatankuasa Khas itu dihantar waktu menolak Formula Mahathir dan mengemukakan formula baru.

Jawatankuasa Agung PAS Pusat yang bersidang pada hari Ahad 6hb.November telah mengambil keputusan tegas, iaitu menentang terus terhadap cadangan hendak mewujudkan akta darurat di Kelantan serta mengarahkan Menteri-Menteri Kabinet dari PAS menentangnya dalam kabinet dan jika ternyata akta itu akan dibawa terus ke Parlimen, maka petugas-petugas dari PAS sebagai Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen, hendaklah meletakkan jawatan masing-masing, serta semua ahli Parlimen sama ada di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, hendaklah seberapa yang boleh berucap menentang akta darurat Kelantan 1977. Barang siapa yang tidak patuh kepada arahan ini maka ianya terpecat dengan sendirinya.

Dari keputusan yang dibuat dengan sebulat suara dalam mesyuarat jawatankuasa kerja agung PAS itulah maka petugas-petugas PAS meletakkan jawatan masing-masing dan menentang akta darurat Kelantan itu. la juga menyebabkan terpecatnya Haji Hasan Adli sebagai ahli PAS.

Hari Selasa 8hb. November 1977 adalah hari yang ditunggu bukan saja oleh PAS tetapi oleh seluruh negara. Bagi Kerajaan Pusat hari itu ditunggu-tunggu kerana itulah harinya mereka akan bentangkan akta darurat Kelantan yang pasti akan diluluskan, meski pun sebahagian besar dari mereka tetap berdukacita kerananya.

Pada pagi itu petugas-petugas PAS seramai lima orang telah menyampaikan surat-surat perletakan jawatan masing-masing dengan cara menyerahkan sendiri ke tangan Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn, sewaktu kabinet bersidang secara khas. Saya sebagai anggota kabinet telah membangkang akta itu dan setelah itu menyerahkan surat perletakan jawatan saya.

Nampak sekali bahawa mereka tidak menyangka bahawa pihak kita sampai begitu sekali sanggup berkorban dalam menghadapi soal yang pokok dan hidup mati seperti ini. Mereka menyangka bahawa orang-orang PAS ini boleh ditunjuk-tunjuk begitu mudah sahaja. Selesai sahaja kami bersalam, dan pada ketika itu sudah jelas Y.B. Tuan Haji Hasan Adli, tidak menyertai kita dan sebaliknya menyokong akta itu. Kami meninggalkan bilik kabinet ke Bangunan Parlimen untuk meminta agar tempat duduk kami ditukar. Perpisahan dalam Kabinet itu merupakan satu kemenangan moral yang tak dapat dilupakan oleh mereka yang cintakan perpaduan.

Pada pukul 3.20 petang itu Akta Darurat Kelantan dibentangkan dalam Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri untuk bacaan kali pertama, dan kemudian Dewan ditangguhkan untuk pukul 7.30 malam. Pada pukul 4.00 petang, DYM SPB Yang Dipertuan Agung menitahkan perisytiharan darurat di Negeri Kelantan. Pada pukul 7.36 malam itu, akta tersebut dibacakan untuk kali kedua dan ketiga untuk diluluskan. Saya telah membuat ucapan panjang lebar memberikan sebab-sebab kenapa rang undang-undang itu tidak perlu. Antara tentangan tersebut menyebutkan bahawa rundingan belum sampai ke mana, dan cadangan balas kita tidak dibincangkan langsung.

Bila pengundian dijalankan di akhir persidangan itu, semua 12 orang anggota kita di Dewan Rakyat telah menentangnya. Petang esoknya, Dewan Negara turut meluluskan akta itu dan seorang Senator kita telah menentangnya.

Hasil dari penentangan itulah Dewan Tertinggi Barisan Nasional mengadakan mesyuaratnya pada 5 Disember 1977 untuk mentafsirkan Fasal 14 tentang disiplin. Amatlah aneh jika Barisan Nasional campur tangan tentang perkaraini, kerana sebelum itu tidak pernah dipanggil pun, sama ada kita setuju atau tidak, bagi membincangkan soal-soal pokok seperti Undang-undang Darurat Kelantan itu.

Pentafsiran tersebut telah ditekankan sedemikian rupa dan memang aneh sungguh bila mereka membuat konklusi bahawa PAS hendaklah memecat ahli-ahlinya yang menentang whip Barisan Nasional. Jadi ertinya saya kena pecat saya sendiri dan rakan-rakan saya? Bukankah perkaranya macam main songlap yang tidak sepatutnya dilakukan oleh orang-orang tua. Itu dari segi logiknya.

Dari segi prinsipnya, gabungan yang bernama Barisan Nasional ini sudah melampaui batasnya yang sebenar. Dalam gabungan yang longgar seperti Barisan Nasional, mana-mana pihak pun tidak seharusnya melanjutkan tangan begitu jauhhingga ke dalam diri mana-mana parti komponen. Setiap partai mempunyai aturan dan kaedahnya sendiri. Lainlah kalau kita ini dalam satu partai, bolehlah memecat mana-mana ahli yang tidak patuh kepada disiplin. Itupun ada kaedahnya. Dan kita bukan satu cawangan dari UMNO atau satu cawangan dari Barisan Nasional. Kita sama-sama mempunyai identiti. Dari segi protokolnya kita adalah setaraf.

Adalah tidak munasabah bagi sesiapa sahaja yang bertamadun memikirkan bahawa semua pihak boleh campur tangan sampai begitu jauh ke dalam partai kawan sendiri, kecuali orang-orang yang berniat songsang dan serong.

Dengan sebab-sebab yang makqul saya telah memberikan ucapan yang tegas dan menentang pentafsiran tersebut dan kehendak-kehendak Barisan Nasional yang bersifat 'campurtangan dalam rumahtangga kita itu'.

Kisah-kisah selanjutnya dari siri ini memberi gambaran bahawa Barisan Nasional sekarang bukan Barisan Nasional sebelum ini. Mereka yang berkuasa dan menjadi teras telah mempergunakan Platform Barisan Nasional itu bagi kepentingan kultus semata-mata, walaupun terpaksa melanggar semangat dan tatatertib persekutuan dan tradisi.

Saya yakin bahawa anasir-anasir tidak sihat mempengaruhi Barisan Nasional ini untuk memecahbelahkan rakyat, terutama perpaduan orang-orang Melayu.

Tepat sebulan selepas peristiwa 8 November, maka pada 8 Disember diadakan pertemuan Majlis Tertinggi UMNO yang telah membuat keputusan untuk memecat PAS. Pada pagi 9hb. Disember anggota-anggota Tertinggi Barisan Nasional mengadakan pertemuan di kalangan mereka, dan kita tidak dijemput, walaupun mereka mengetahui bahawa PAS pada ketika itu adalah salah satu komponennya.

Keputusan Majlis Tertinggi UMNO itu dimaklumkan kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan memutuskan bahawa Dewan Tertinggi Barisan Nasional akan bersidang pada 13 Disember bagi membincangkan usul UMNO untuk memecat PAS.

Pada petang 9 Disember itu, Pemangku Presiden UMNO, Datuk Hussein Onn mengumumkan dalam satu perhimpunan khas UMNO seluruh negara di Dewan Tuanku Abdul Rahman. Ucapan tersebut menyebut antara lain: jika pucuk pimpinan PAS tidak mematuhi dan mengambil tindakan sebagaimana yang dikehendakki di dalam resolusi yang telah dipersetujukan oleh Barisan Nasional dalam mesyuarat Majlis Tertingginya pada 5hb. Disember yang lalu, UMNO akan meminta diadakan mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional supaya dipersetujukan resolusi memecat PAS daripada Barisan Nasional.

Pada 13 Disember, Dewan Tertinggi Barisan Nasional mengadakan mesyuaratnya di Ibu pejabatnya, dan kali ini PAS dijemput sama. Agendanya untuk memecat PAS. Mungkin, apabila dilihatnya PAS hadir, barangkali mereka tidak sangka, maka agenda itu diubah menjadi berbunyi seperti berikut: "Melaksanakan keputusan yang telah diambil dalam mesyuarat khas Dewan Tertinggi pada 5hb.Disember 1977 dan mengambil tindakan memecat parti-parti anggota yang enggan mematuhi setelah diberi tempoh yang berpatutan".

Parti PPR menentangnya dan wakil-wakil PAS mengambil sikap tunggu dan lihat pertelagahan mereka, kerana tidak ingin lagi mengulang-ulang hujah yang sama yang telah dihujahkan sebelumnya.

Keputusan apa yang dinamakan 'mesyuarat' itu antara lain berbunyi: ". . .Parti PAS yang didapati telah melanggar disiplin parti mengikut pentafsiran yang baru dibuat terhadap Fasal 14 Perlembagaan Barisan Nasional sepatutnya memecat ahli-ahlinya sesudah Usul Pentafsiran itu diluluskan. Sungguhpun demikian, Parti PAS diberi tempoh selama 4 hari mulai daripada hari ini untuk mengikut keputusan ini. Jika tidak, dengan sendirinya Parti PAS dipecat daripada Barisan Nasional . . ."

Ayat-ayat tersebut nampak sekali berliku liku. Jika Parti PAS didapatimelanggar disiplin, kenapa tidak dipecat terus, sebaliknya meminta PAS memecat ahli-ahlinya, caranya memang menggelikan. Kenapakah sehingga demikian likunya sengaja dibuat, kerana mereka sedar implikasinya bagi masyarakat terutamanya masyarakat Melayu.

Terserahlah kepada tafsiran masyarakat seluruhnya. Kita hanya memberikan fakta untuk tatapan sejarah. Namun demikian, Jawatankuasa Agung PAS telah mengadakan mesyuaratnya pada malam 14 Disember dan mengambil keputusan bahawa apa yang dipanggil 'tempoh' atau sebagainya adalah tidak mempunyai erti apa-apa, kerana sudah mereka tahu bahawa PAS dengan pendiriannya tidak berganjak. Oleh yang demikian, PAS menganggap ianya telah dipecat pada malam 13 Disember itu lagi.

Tatkala surat rasmi memberitahukan keputusan Mesyuarat Dewan Tertinggi pada 13 Disember sampai ke tangan saya pada pagi 15 Disember 1977, kita sebenarnya telahpun menjawabnya terlebih dahulu dari itu dan pada 15hb. Disember itu kita sudah pun meminta Setiausaha Dewan Rakyat menukarkan tempat duduk di sebelah pihak pembangkang. Kita sudah bersedia dari semua segi. Pada 16 Disember anggota-anggota kita sudah duduk di pihak pembangkang,pada hal salah seorang naib presiden parti yang berkuasa bercakap di Kedah bahawa mereka sedang menunggu hari esok, bahawa ahli-ahli PAS dalam badan-badan berkanun akan disingkir dan bahawa mereka sudah menunggu lama untuk berbuat demikian dan bahawa PAS ini adalah musuh mereka.

Memang selama ini kita mengagak bahawa sebahagian pemimpin UMNO tidak senang terhadap kita, tetapi tidak pernah disahkan, kecuali dalam kenyataan dari pemimpin penting UMNO tersebut. Memang mereka boleh berbuat apa saja, tetapi untuk perhatian saudara-saudara, kita tidak memusuhi ahli-ahli UMNO dan tidak pernah untuk menganggap ahli-ahli UMNO sebagai musuh kita. Kita sentiasa baik sangka, kita tidak tergamak menyatakan bahawa semua orang UMNO itu musuh kita.

Kita hanya tidak dapat kompromi dengan sebahagian pemimpin UMNO yang bertindak songsang dan serong untuk memakan dan menelan kawan, manusia sebangsa dengan mereka, demi membina kepentingan politik jangka pendek dan jangka panjangnya hingga tergamak melupakan kepentingan keseluruhan nasib bangsa dan negara mereka.Bagaimanapun itulah manifestasinya. Pepatah orang tua-tua berkata,"Bangkai gajah tidak dapat ditutupkan dengan nyiru". Tembelang dari ketidakjujuran dan penyelewengan serta kezaliman akan terdedah dari semasa kesemasa, InsyaAllah melalui mulut, sikap, watak dan kegiatan mereka.

Bayangan dari kenyataan tersebut jelaslah tidak memberi gambaran yang optimistik tentang perpaduan orang Melayu dan perkembangan agama Islam. Yang terbayang ialah dendam kesumat yang sepatutnya tidak ada kepada orang yang bercita-cita untuk jadi Pemimpin Negara.

Seluruh ahli PAS yang dedikasi hendaklah bersiap sedia menghadapi implikasi ancaman dan balas dendam ini, yang pada hakikatnya kita semua adalah terdedah kepada apa-apa saja tindakan dan ancaman. Sewaktu kita menjadi pembangkang dulu, beberapa orang ahli Dewan Undangan Negeri terpaksa bertanding ketika mereka dalam tahanan di Batu Gajah, dan mereka menang. Kalau mereka yang berkuasa mau mempertinggikan tempat jatuhnya dia mungkin akan bertindak lebih drastik dan keras dari itu.

bersambung...

PAKDOE ALLAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan