Rabu, 28 September 2011

SEJAUH MANA KEBERANIAN PAS, MEMBUKTIKAN BETAPA TAKUTNYA UMNO KEPADA PAS-PAKDOE ALLAN

Jawapan kepada tulisan Zulkiflee Bakar [klik sini]- Jika Nik Aziz dikatakan dulu sebelum berbaik-baik dengan DAP, PAS ibarat mentimun, limau bali dan nangka menurut Zulkiflee tetapi kini umpama 'durian' kerana beliau berpendapat PAS sudah 'terkena getah nangka'. Pendapat yang beliau utarakan adalah berkaitan dengan senario politik yang berlaku sekarang diibaratkan seperti buah.

Namun untuk pengetahuan saudara Zulkiflee...sebelum buah itu terhasil ia semestinya ada pokok terlebih dahulu. Tanpa pokok tidak mungkin ada buah melainkan buah 'ulu' dan buah yang di 'bawah' milik saudara saja. Selain itu semuanya ada pokok. Pendapat saudara langsung tidak membantu dalam sebarang pembentukan sebuah negara Islam yang dominan. Akibatnya orang Melayu dilihat semakin tertekan bersaing dengan orang bukan Melayu dan bukan Islam dalam bab berkaitan hukum-hakam Islam. 

Dalam soal ini saudara harus melihat dengan mata hati yang bukan menjurus ke arah politik semata-mata. Sebaliknya soal pokok, soal agama, soal perundangan Islam. Manakala soal keberanian perjuangan parti PAS dalam menegakkan 'hudud' tidak harus dianggap oleh saudara sebagai satu 'sandiwara solo' PAS sahaja. Sepatutnya menegakkan hukum Allah ini turut menjadi agenda dan tanggungjawab saudara juga lebih-lebih lagi UMNO.

Kebolehan menulis yang saudara miliki adalah pemberian Allah yang telah saudara salah gunakan. Saudara cuba mengapi-apikan hudud supaya ia tidak dapat terlaksana. Saudara memperlekehkan PAS untuk menegakkan 'hudud'. Saudara seorang penentang hudud yang konservatif. Saudara juga merupakan seorang yang tidak mensyukuri kebolehan yang Allah anugerah buat saudara. Orang-orang seperti saudaralah merupakan api dalam sekam, gunting dalam lipatan, tepak di luar runcing di dalam, lurus telunjuk kelengkeng berkait, dan yang paling teruk ialah 'pelesit dalam kain'. Bukan Nik Aziz atau PAS. Perjuangan yang PAS lakukan sekurang-kurangnya dapat melepaskan 'dosa' tanggungjawab sebagai pemimpin. Bukan pandai mencari alasan untuk mengelakkan hudud sebagaimana yang dilakukan oleh ulama-ulama UMNO dan penulis seperti anda.

Pemikiran sempit saudara telah membuatkan ramai orang Islam tersepit, terpengaruh, hanyut dan mempersendakan usaha PAS untuk melakukan usaha sedemikian. Saudara hanya tahu mengutuk hudud dan mengaitkannya dengan PAS semata-mata demi mencapai hasrat saudara  melihat perbalahan yang berlaku dalam kalangan PAKATAN seterusnya UMNO mengambil kesempatan untuk berkuasa dan akhirnya, sekali lagi 'hudud' menjadi mangsa dalam kancah politik yang saudara cetuskan.

Sudara juga tahu bahawa selama 20 tahun PAS gagal melaksanakan hudud adalah bukan kerana PAS longlai dalam bab ini tapi Mahathir yang tidak membenarkannya dan kini Najib pula kembali menegaskan bahawa 'hudud' sama sekali tidak akan dilaksanakan di Malaysia. 

Tahukah saudara mengapa Najib berkata demikian? Najib berkata demikian semata-mata untuk mengekalkan kuasanya sambil memujuk MCA secara tidak langsung kekal dalan Barisan. Sambil menyelam minum air. UMNO sebenarnya begitu takut pada PAS dalam soal ini. UMNO takut kecundang dan hilang kuasa. Apatah lagi bila MCA keluar dari Barisan, apa lagi yang tinggal buat UMNO? Berkokok berderai-derai tapi ekor bergelumang dengan Najis. Menang berkokok kampung tergadai. Ini yang UMNO risaukan.

Rentetan dari itu, maka lahirlah pemikiran dan gerombolan UMNO seperti saudara memainkan isu ini dengan 'teknik politik', tapi kesan tragis yang bakal timbul ialah 'hudud' semakin terpinggir dalam masyarakat Islam di Malaysia. Orang-orang seperti saudara telah mengheret umat Islam yang lain menaiki rakit yang melawan arus agama tapi masih mencari berbagai alasan untuk memenangi perlawanan itu, meskipun arus itu begitu deras untuk saudara tempuhi. Tahukah saudara arus apakah itu? Itulah 'arus kesedaran agama'.

Orang-orang seperti saudara yang mudah lupa, jika benar hudud tenggelam dalam perjuangan PAS setelah berpuluh tahun perjuangkannya. Benarkah PAS lupa? Tidak, PAS tidak lupa. Sekali lagi saudara silap dalam menghuru-harakan PAS. Saudara kata setelah pembentukan 'Negara Berkebajikan' maka PAS lupa terhadap hudud. Bukan begitu. Sekali lagi saudara menikam tapi tak kena. 

Antara Negara Kebajikan dan hudud adalah dua perkara yang berlainan. Saudara sekali lagi silap. Buah cempedak jika kita tidak pandai menghidu dan melihatnya maka cempedak itu akan dikatakan nangka oleh saudara. Inilah kesilapan saudara, saudara bertukar antara cempedak dan nangka. Nampaknya taklimat buah-buahan tempatan yang dihadiri Nik Aziz itu harus diberikan kepada saudara. Saudara tidak tahu beza:

antara cempedak dan nangka, 
ahli syurga dan ahli neraka, 
tiada terduga tiada terjangka, 
ahli UMNO dah kena saka
sesalnya badan salah meneka
 diri merana lagi celaka 
bermain agama tiada peka
saudara menulis ikut sesuka
akhir dunia hidup berduka
ibarat langit menimpa muka
barulah padan dengan durhaka
biarlah kena malapetaka!!!

Saudara hanya melihat hudud seperti ini:
hudud-milik PAS, 
hudud-perjuangan PAS, 
hudud-milik Nik Aziz, 
hudud-DAP takut, 
hudud-DAP keluar PAKATAN
hudud-UMNO bakal menang
hudud-PAS kalah
hudud-rakyat tak nak
hudud-anda tak nak
hudud-zalim dan boleh dielak
hudud-musuh Karpal Singh
hudud-musuh Lim Guan Eng
hudud-musuh Lim Kit Siang
hudud-PAS tak ikhlas dan penakut
hudud-hukum PAS bukan Allah
hudud-Allah tidak paksa hudud
hudup-macam-macam anda kata....


Inilah ruang lingkup, skop pemikiran penulisan saudara berkaitan isu pokok iaitu hudud- bukan politik yang dihududkan tapi hudud dipolitikkan, anda terbalik dan tunggang-langgang. 'Menungging Nyior'. Inilah saudara dan 'labu' saudara. Akhirnya saudara terjun ke dalam parit dengan membawa dua biji 'labu' saudara mandi 'char' [air longkang].


Ketahuilah apa yang saudara katakan itu hanyalah satu daripada sikap orang-orang yang hipokrit dan penuh fatamorgana dalam hidupnya. Penentangan kumpulan saudara terhadap hudud adalah sama pentafsirannya seperti sejarah yang kumpulan saudara ciptakan, iaitu Komunis menentang British tapi polis Melayu yang menjadi mangsa

Sehingga kini gerombolan saudara masih keliru mana yang benar? Apa yang sedang saudara lakukan?- Saudara menentang PAS atau saudara menentang hudud? Atau kedua-dua saudara tentang dan musuhi? Ayuh, sila beri jawapan yang tegas, lurus serta jujur!!!


Sekali lagi saudara dan kumpulan semirip saudara menghadapi krisis identiti. Saudara masih pening. Apakah pening-pening lalat atau mabuk-mabuk tahi? 

Saudara menghentam PAS dengan mengatakan PAS berpura-pura mahu melaksanakan hudud tapi akan berpaling tadah bila DAP campur tangan. Kata-kata anda ini sekali lagi tidak membantu mengetengahkan hudud sebagai satu bentuk perundangan Islam yang wajib kita laksanakan. Sebaliknya saudara bertepuk tangan  andai DAP keluar dari PAKATAN. Bagi saudara, UMNO sekali lagi berjaya bertakhta dengan sebab isu hudud yang cuba dimanipulasikan pemimpin anti hudud saudara iaitu Mahathir mampu memecah-belahkan PAKATAN, tapi sebenarnya untuk apa? Untuk berebut kekuasaan.

Sekali lagi saudara silap dalam soal ini. Saudara kata jika PAS menawan Putrajaya PAS akan jadi hamba kepada DAP. Sekali lagi saudara silap, tahukah saudara betapa selama ini orang Melayu telah terpinggir akibat sikap berbaik-baik UMNO dengan MCA? MARA, subsidi dan sebagainya semuanya telah digadaikan oleh UMNO kepada bukan Melayu. Perkara ini sama saja berlaku kepada UMNO. Tapi saudara masih tak nampak. Soal biasiswa yang ditukar kepada PTPTN, walhal sepatutnya kerajaan mampu menanggung kos tersebut untuk kesejahteraan rakyat, tapi kenapa jadi begitu gawat sekali, soal ekonomi berkaitan kenaikan harga barang yang begitu ketara, pendapatan perkapita rakyat masih di bawah garis kemiskinan yang ditetapkan, tahukah saudara mengapa jadi demikian? Sedangkan pendapatan negara amat jelas memberangsangkan. Jadi ke mana menghilangnya wang hasil bumi Malaysia ini. Ini juga saudara tak nampak. Buta rengga!

Saudara mesti kena jelas bahawa orang yang saudara tentang iaitu Nik Aziz adalah hanya antara seorang wakil bagi menyampaikan hasrat mewakili umat Islam kecuali UMNO dan saudara saja untuk melaksanakan hukum Allah sebagai satu mandat yang terpikul olehnya sebagai seorang pemimpin. Mengapa anda begitu obses dalam soal ini? 

Sedangkan saudara juga tahu bahawa bukan Nik Aziz yang akan melaksanakan hukum sebat dan potong tangan. Orang politik seperti Nik Aziz hanya menaikkan hudud sebagai satu perundangan jenayah di mahkamah syariah. Orang kafir tidak terlibat dalam soal ini. Sekali lagi saudara silap. Saudara tidak tahu sejarah hudud dalam peradaban Islam di zaman nabi dahulu. Untuk potong tangan, kaki rejam rotan dan qisas bukanlah main taram sahaja. Ada urutan dan teknik pendakwaan yang kompleks dan komprehensif. Saudara harus belajar dalam bab hudud ini dulu baru saudara boleh bercakap tentang hudud. Jangan membelasah hudud menurut pentafsiran yang ada dalam pemikiran anda saja. Begitu juga dengan Muqasid Syariah yang dilaungkan oleh Najib, apakah Najib faham apa maknanya tu? [klik sini untuk jawapan]

Saudara kena tahu setiap hukum yang Allah tetapkan ada hikmahnya. Bukan main-main!

Saudara mempersoalkan hala tuju PAS, tapi tahukah saudara betapa UMNO juga begitu gerun dan kalah berdepan dengan MCA bila diugut untuk keluar Barisan Nasional sekiranya UMNO  menyokong hudud ini? Jadi UMNO sebenarnya langsung tidak membantu dalam soal menerangkan hukum-hakam yang terdapat dalam hudud kepada orang bukan Islam. Apa yang sepatutnya UMNO jelaskan ialah mengapa hudud ini sangat penting kepada orang Islam, bukan menghina hudud seperti saudara.

Apakah saudara tahu kisah sejarah di Kelantan? Jika tidak tahu ingin pakdoe sampaikan bahawa Kelantan semasa pemerintahan Sultan Mohd ke-2 hudud ini pernah dilaksanakan. Pernah dilaksanakan. Bukan baru sekarang saja PAS berdegar-degar ingin melaksanakan tapi sejarah dulu membuktikan bahawa Kelantan sebagai 'Serambi Mekah' pernah menjadikan hudud sebagai satu bentuk perundangan. Jadi tidak pelik jikalau kelantan sekali lagi melaksanakan hukum ini di Kelantan.

Kesimpulannya, walau masih banyak yang ingin diperkatakan tentang penulisan saudara yang begitu membenci hudud. Maka rasanya amat malang sekali sekiranya sesiapa yang ingin melayan karenah anda yang langsung tidak memahami hudud tapi mahu bercakap mengenainya. UMNO menentang hudud adalah kerana UMNO sangat takut kepada PAS, manakala nampaknya PAS lebih Islamik berbanding UMNO!!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan