Pergerakan Pemuda Umno tidak gentar dengan ancaman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hisahmuddin Hussein yang memberi amaran supaya bersedia menerima padah jika meneruskan perhimpunan pada 9 Julai ini.
Ketuanya Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam twitter berkata Pemuda Umno tidak akan berganjak dengan keputusan mengadakan perhimpunan pada tarikh dan tempat yang sama dengan perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) di ibunegara itu.
“Kami akan teruskan. Ini keputusan sebulat suara Exco Pemuda semalam. Bukan keputusan unilateral saya.
“Kami mesti berarak bagi membuktikan bahawa suara rakyat bukan dimonopoli oleh pembangkang,” tulisnya mengulas kenyataan Hishamuddin supaya hasrat pemuda Umno itu dibatalkan demi keselamatan negara.
Menurut Khairy, beliau dan Pemuda Umno bersedia menghadapai apa sekalipun kemungkinannya.
Menyalahi undang-undang
“Hisham boleh beri sebanyak mana amaran yang beliau mahu. Ini Malaysia baru. Kami mempunyai hak untuk berhimpun, dijamin oleh perlembagaan. Pemuda Umno tetap berarak pada 9 Julai ini. Itu sahaja,” akhirnya.
Hishammuddin pada sidang akhbarnya di Putrajaya, petang tadi memberi amaran kepada Khairy supaya bersedia menghadapi tindakan jika berkeras mahu menyertai perhimpunan itu.
"Nasihat saya adalah sama kepada setiap orang dan seperti yang saya nyatakan di Parlimen, polis melihatnya (perhimpunan) sebagai satu isu keselamatan.
"Saya berpendapat apabila menyentuh perkara itu ia tidak kira jika saya bekas Ketua Pemuda atau tidak. Pemuda perlu berdepan apa jua akibat atas tindakan mereka, seperti apa yang saya hadapi semasa menjadi Ketua Pemuda," katanya.
Hishammuddin yang juga bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno berkata tiada sesiapapun yang melebihi undang-undang dan mereka perlu berhadapan dengan polis seperti orang lain.
“Sesiapa sekali pun..., saya juga mesti berdepan dengan polis (apabila saya ketua Pemuda). Saya jangkakan mereka (Pemuda Umno) berbuat perkara yang sama.
Bukan pendirian Umno
“Ini sentiasa menjadi pendirian saya, tiada sesiapa boleh melebihi undang-undang,” katanya.
Ketika ditanya sama ada pendirian Pemuda itu merupakan pendirian Umno, Hishammuddin berkata keputusan untuk menganjurkan perhimpunan itu merupakan keputusan jawatankuasa eksekutif.
Oleh itu, beliau berkata ia merupakan pendirian Pemuda dan bukan Umno secara keseluruhan.
Semalam, Pergerakan Pemuda Umno Malaysia memutuskan untuk mengadakan perhimpunan pada tarikh dan tempat yang sama dengan perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) di ibunegara pada 9 Julai depan.
"Kami akan berarak ke Istana Negara pada 9 Julai. Butiran lanjut akan diumumkan kemudian.
"Kami menyokong sistem pilihan raya sedia ada dan mahu bekerjasama dengan SPR untuk melakukan penambahbaikan," kata Khairy.
Sebelum ini, PERKASA juga mengumumkan akan menganjurkan perhimpunan pada masa dan tempat yang sama.
Source:malaysia kini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan