Banyak penyelewengan ketenteraan ‘tiada jawapan’ – Brig Jen (B) Hadi
KUALA LUMPUR 17 FEB: Hanya perubahan di peringkat kerajaan Persekutuan dapat mendedahkan pelbagai penyelewengan berkaitan pembelian kelengkapan ketenteraan, kata Brig Jen (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab.
Pengerusi Majlis Perundingan Keselamatan Tentera KEADILAN itu mengajak semua anggota tentera termasuk pesara supaya melakukan perubahan politik demi kebaikan negara.
“Ada 250,000 bekas pesara tentera di negara ini. Semuanya harus bersama melakukan perubahan. Hanya melalui perubahan politik, segala salah laku Umno BN melibatkan ketenteraan, dapat didedah.
“Kes seperti Scorpene, pembelian helikopter dan banyak lagi sehingga hari ini tidak ada jawapannya. Masa depan negara dan generasi akan datang bergantung pada PRU 13.
“Kalau mahukan jawapan, ayuh bersama-sama menyumbangkan undi kepada Pakatan Rakyat kerana kita boleh membongkar segala penyelewengan selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian depan lebih 3,000 rakyat dalam program Siri Jelajah Merdeka Rakyat bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Rekreasi, Keramat Wangsa, malam tadi.
Ia turut disertai tiga lagi bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Lt Jen (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid (Darat); Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid (Laut) dan Brig Jen (B) Datuk Najmi Ahmad (Kagat).
Dalam pada itu, Hadi turut mencabar Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya mendedahkan dalang sebenar dalam skandal kehilangan enjin jet F-SE pada 2007.
“Sebelum tiba, saya dapati banyak risalah fitnah mengenai ketenteraan disebar. Jangan cuba cabar kesabaran saya. Saya tidak gentar dan takut. Jangan cuba bermain fitnah.
“Saya cabar Zahid Hamidi dan Panglima Tentera Udara (Diraja Malaysia) beritahu, siapa hilangkan enjin jet itu? Saya mahu mentero jawab, saya cabar jawab,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan