Sebentar tadi dalam ulasan Sinar Harian, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan melucutkan Nasharudin sebagai ahli Majlis Syura tidak melibatkan politik seperti yang digembar-gemburkan media. Mengapa perkara ini harus diperpanjangkan? Apakah dengan ketiadaan Nasha maka keutuhan parti PAS tergugat, walaupun sebelum ini Tuan Ibrahim kata sedikit pun tidak terjejas.
Mengapa masih membalas serangan berbagai media berkaitan isu ini? Keputusan sudah dibuat dan sebarang ulasan seolah menyesal dengan tindakan itu akan menampakkan kecelaruan dalam Majlis Syura. Walau apa alasan sekalipun, ini adalah sebahagian dari modus operandi UMNO yang ingin merosakkan PAS. Ramai yang mungkin terlepas pandang dalam isu ini, soalnya mengapa Najib beriya-iya menjemput Nasha bersamanya ke Gaza. Apa motifnya? Nasha dengan Najib bukan saudara mara.
Persoalan yang paling pelik ialah mengapa Nasha juga mengikuti Najib ke Gaza? Apakah Nasha yang terhegeh-hegeh hidung tak mancung pipi pula tersorong-sorong. Atau Nasha selalu mengintai bila peluang Najib makan angin, atau benarkah Nasha bertolak bersama Najib atas dasar NGO bantuan kemanusiaan yang diwakilinya. Atau apakah PAS tidak menjaga ahlinya sehinggakan Nasha wakil rakyat Bachok sebelum ini amat longgar pengurusannya dalam mentadbir kawasan parlimennya. Seolah beri peluang besar kepada UMNO untuk mengutuk kelonggaran ini?
Analoginya mudah, UMNO sudah mengumpan Nasha yang rapuh pegangan politiknya. Ditambah pula denganNasha yang mungkin tawar hati dengan PAS setelah idea penggabungannya yang dikemukakan oleh PakLah dan Najib gagal. Sedangkan taraf jawatannya dulu adalah sama dengan Muhyiddin Yassin sekarang. Amat tinggi. Kesan dari situlah Nasha sudah termakan benih UMNO. Kini virus yang ada dalam diri Nasha telah terklon bersama semangat UMNO. Jalan pulangnya sudah jauh lari dari landasan parti PAS. DNA Nasha kini sudah berubah menjadi UMNO, seangkatan dengan Hasan Ali. Sama.
Sebelum ini dalam banyak hal PAS juga telah mengetepikan Nasha, akibatnya sekian lama Nasha tidak lagi berada dalam program anjuran PAS seperti Himpunan Kebangkitan Rakyat, pentas-pentas ceramah PAS dan sebagainya, apakah Nasha yang sengaja tidak mahu melibatkan diri atau masih mengharapkan jemputan khusus seperti layaknya semasa menjawat orang nombor 2 dulu.
Nasha tersisih atau menyisihkan diri atau rasa tersisih, semuanya sudah tidak penting. Kesempatan yang diambil UMNO juga memang sepertimana yang dirancang. Tindakan yang PAS ambil juga amat wajar bahkan masih terikat dengan rasa simpati. UMNO sengaja menjemput Nasha berdampingan agar menimbulkan rasa 'serabut mata' pimpinan PAS dan mereka berjaya melaksanakan dengan begitu baik sehingga tiada siapa perasan bahkan hanya menuding jari sesama sendiri dalam PAS. Inilah kebijakan UMNO selama ini yang masih tidak terhidu oleh PAS akan rentak tari UMNO. Manakala di pihak Nasha yang lama kegersangan dan seolah terpinggir dari ruang pandangan mata PAS sudah tentu cuba untuk mencuit sedikit agar beri rasa hormat atau 'reti baso' sikit. Nasha akan cuba lakukan sesuatu yang bakal mendatangkan kejutan dan orang akan ingat kepadanya. Inilah helah yang tersembunyi, apapun hanya Nasha yang lebih arif dalam banyak keputusan yang dilakukannya.
Takkan dia tidak tahu sedikit pun bahawa perbuatannya bersama Najib akan menjadi satu isu yang sangat hangat. Bohonglah kalau perbuatannya akan disanjung oleh PAS. Bahkan risiko yang menanti juga telah dapat diagak oleh Nasha. Jadi sama ada dia yang terhegeh-hegeh ingin bersama Najib atau jemputan rasmi Najib selaku PM yang mesti diikuti oleh Nasha selaku rakyat marhaen, kedua-duanya sudah diagak oleh Nasha sendiri. Nasha bahkan lebih tahu dan terima nasibnya seperti sekarang. Cuma kemungkinan besar selaku orang kuat suatu waktu dulu akan mengheret bersama beberapa orang kuatnya juga untuk beralih arah dari terus bersama PAS atau memusuhi PAS seperti yang berlaku terhadap Hasan Ali.
Nasha juga sekali imbas hanyalah watak yang menjadi mangsa kepada kerakusan UMNO. Nasha sendiri juga adalah orang yang tergoda dengan tawaran UMNO. Bahkan mungkin Nasha dapat tegakkan Islam melalui UMNO. Menegur pimpinan utama UMNO yang tidak mahu laksana hudud, menegur Rosmah yang tidak bertudung rapi selayaknya. Mungkin inilah langkah pertama yang harus Nasha berani buat. Jika tidak apa bezanya dengan mufti dan mursibat ulama yang lain dalam UMNO, ulama yang hanya tahu kahwin lari di Siam dengan menafikan hak dan hukum kuasa yang ada di Malaysia.
UMNO sudah rancang dengan baik konon Nasha adalah seorang yang benar-benar islamik. Jadi jika PAS memecatnya angin ahmar yang akan dihembus UMNO adalah dakwaan PAS tunduk pada DAP dan Anwar Ibrahim. Ulama seperti Nasha ditukar ganti dengan DAP dan PKR. Inilah modal yang bakal dicanang disetiap ceruk muka bumi Malaysia ini. Bahkan Nasha juga mungkin akan mendedahkan segala butiran parti atau rahsia-rahsia yang sepatutnya tidak boleh diketahui oleh musuh parti, inipun jika ada. Jika PAS ada rahsia.
UMNO akan gunakan Nasha dalam segenap kempen pilihan rayanya yang terdekat ini untuk membahagikan pengundi PAS kepada beberapa kepercayaan. Baru-baru ini penyokong Nasha dari P.Pinang juga sudah mendesak agar PAS berpecah dari PAKATAN RAKYAT. Mereka sanggup beramai-ramai memberi amaran kepada PAS. Inilah risiko yang harus dilihat oleh PAS sebagai pengaruh dari Nasha. Politik ekstrem Nasha yang hanya mahu biar PAS bergerak sendiri. Biar PAS bergabung dengan UMNO. Inilah kehendak hati Nasha. Padahal jika berlaku demikian di mana letaknya pula MCA dan MIC? Paling jauh Nasha hanya boleh berfikir selapis saja. Bila masuk 2 lapis, beliau dah mula termakan godaan kebendaan dan materialistik.
Kesimpulannya sama ada Nasha diperalatkan sebagai gundik oleh UMNO atau Nasha sendiri yang bertukar arah. Usah lagi diperpanjangkan isu ini. Bosan dan remeh. Segala keputusan yang PAS buat sebenarnya masih tidak mencukupi. Sekadar pecat dari senarai calon, bukan pecat dari ahli PAS. Ini menunjukkan PAS masih mengharapkan kepulangan Nasha. Bagi saya, kepulangan Nasha tidak akan membawa apa-apa makna setelah pemergiannya juga tanpa restu PAS. Nasha ingin keputusan rasmi dari PAS, tapi tindakan Nasha sebelum ini bersama Najib juga adalah sesuatu yang tidak rasmi dan mengikut saluran yang betul. PAS akan berikan surat rasmi dalam masa terdekat. Hanya Nasha juga harus memilih kawasan mana dan platform apa yang sesuai untuk berjuang menegakkan Islam. Apakah Najib juga akan menolak Nasha? Atau apakah Nasha bakal menjadi Hasan Ali yang menubuhkan JATI atas dana UMNO. Saya suka juga mencadangkan agar Nasha menubuhkan persatuannya sendiri berteraskan NGO. JATI Hassan Ali telah perjuangkan IMR-ISLAM, MELAYU dan RAJA. Maka eloklah andai Nasharuddin Mat Isa menubuhkan persatuan yang dikenali sebagai TEMBESU- TIBAI LEMBU BISU yang memperjuangkan INR-ISLAM, NAJIB DAN ROSMAH. Semoga Nasha berjaya membodek Najib untuk menjadi seorang calon winnable candidate UMNO. Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan