AKHIR-akhir ini, wadah hukuman hudud menjadi teras pebincangan umat Islam dan BUKAN ISLAM antara perlaksanaan dan seni hukum hudud itu sendiri, bahkan sering menjadi mangsa perdebatan dalam kebanyakan media arus perdana, paling teruk disebar luas oleh kebanyakan manusia berakal yang tidak mempunyai kepakaran berkaitannya.
Menariknya kepopularan hudud ini hanya menjadi modal politik bagi yang berkepentingan mengekalkan kuasa politik, tapi konsep sebenarnya sama sekali kumpulan yang berkepentingan itu tidak mengenali apa itu hudud. Apatah lagi sekarang musim rakyat Malaysia menanti detik pilihan raya umum lebih menjengkelkan ialah dengan bertopengkan Malaysia sebuah negara Islam dari kaca mata UMNO.
Harus diingati ramai golongan cendikiawan yang berjuang untuk memertabatkan hudud bukanlah datang dari latar belakang pendidikan agama. Sebaliknya adalah dari golongan yang lebih kepada duniawi, seperti dari golongan profesional perubatan-doktor, perundangan sivil-loyar ala barat Lord Reid, pendidikan-guru, seni bina, kejuruteraan dan sebagainya yang terdedah dengan teori-teori barat dalam sistem pendidikan awal Jean Piaget, Maslow dan sebagainya.
Sejarah ringkas kemerdekaan mewartakan penentangan tragis ala peperangan yang menjadikan penjajah sebagai watak antagonis menghisap darah rakyat dan menagih hasil mahsul bumi Malaysia. Andai dulu jika Malaysia ini tidak ada sumber asli mana mungkin akan dijajah? Akibat pemerintah zaman feudal dulu tidak mempunyai kekuatan perang yang moden dan tidak membuat sebarang kajian khusus berkaitan sistem pertahanan. Akhirnya kebanyakan kerajaan Melayu masa itu tumpas kepada penjajah yang bermula dengan Portugis, walau hakikatnya negara asal mereka juga tidaklah sebesar mana. Rakyatnya juga tidaklah seramai mana. Akhirnya Melaka pada 1511 telah tersungkur kepada mereka. Inilah detik yang paling rasmi bermulanya zaman kolonial, walhal sebelum ini sudah ada penjajahan kerajaan Siam dan Majapahit ke atas Tanah Melayu. Tapi ini tidak dikira sebagai rasmi kerana masih berkisar dalam rumpun yang sama iaitu Asean.
Tinjauannya, mengapa Portugis mampu menawan Melaka. Jawapannya ialah kekuatan mereka dari segi strategi pertempuran jauh lebih hebat dengan kelengkapan perang dan senjata moden pada masa itu. Manakala di pihak Melaka, rajanya pula hanya sibuk menjaga kepentingan sendiri dari segi harta dan kuasa bahkan sibuknya raja hanya dalam menguruskan hal masyarakat sendiri yang tidak patuh kepada raja. Berbekalkan tuah "silat" dan keris serta parang bon, mana mungkin dapat menyaingi kehebatan pesaingnya yang gah lagi moden. Tapi indahnya waktu itu hukum hudud ini sudah pun terlaksana dan amat jelas termaktub dalam Hukum Kanun Melaka.
Setelah Portugis menjarah danmerogol gadis tempatan, muncul pula Belanda sehingga 1824 bertukar lagi kepada Inggeris. Pada masa inilah Inggeris sudah mula meneroka dengan lebih aktif mencangkul hasil mahsul bumi bertuah ini. Perang Dunia Pertama 1914 tidak memberi kesan langsung kepada Tanah Melayu, namun sedikit pengalaman perang dapat dirasai.
Sehingga perang dunia kedua, perkembangan nasionalisme berlaku dengan pesat membawa kepada penentangan terhadap penjajah. Gerakan reformasi ini telah melahirkan berbagai tokoh wira tetapi sering dilupakan. Antaranya ialah Sheikh Tahir Jalaludin, Syed Syeikh al-Hadi dan Dr. Burhanuddin al-Helmy.
Akhirnya penaklukan kolonial ini berhenti setelah modal hasil sudah tidak mampu mengatasi kos pengurusan dan pihak penjajah terikat dengan piagam Atlantis. Dalam kekecohan muncul tokoh kemerdekaan diambang penjajah sudah tidak mahu lagi kepada negara ini. Meski terpaksa bergadai bangsa dan agama, demi sebuah kemerdekaan maka tanpa segan rakyat Melayu yang terpengaruh dengan gerakan Tanah Melayu untuk orang Melayu menjadi bos yang dimainkan sentimen ini oleh beberapa tokoh awal UMNO. Maka kebanyakan rakyat setuju dengan cadangan ini walau syarat yang dikenakan agak berat seperti Sultan Mahmud melamar Puteri Gunung Ledang, dengan mengenakan tujuh syarat yang tak mampu ditunaikan, antaranya ialah:
1 jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang.
1 jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang.
7 dulang hati nyamuk.
7 dulang hati hama.
7 tempayan air mata anak dara.
7 tempayan air pinang muda.
1 mangkuk darah Sultan Ahmad, iaitu anak Sultan Mahmud Shah, dan yang masih kanak-kanak lagi.
Jelas kepada kita, walau sembrono dan sekejam Sultan Mahmud pun baginda tidak rela menukar nafsu dengan keturunan. Malangnya bagi UMNO tidak begitu demi kuasa memerintah sanggup menerima orang Cina dan India sebagai tukar ganti dengan kemerdekaan. Sanggup menjual maruah bangsa Melayudemi gilakan kuasa. Benarlah kata-kata Mat Sabu, jika Inggeris masih lagi menjadi pentadbir negara ini, Tanah Melayu akan lebih maju berbanding UMNO yang lebih 60 tahun memerintah. UMNO pula lebih redha belasah emas untuk pemimpinnyabuat jambatan bagi kontrak pada kroni, hati nyamok dan hati hama
Sebaliknya kini, UMNO marah pula dengan DAP yang diiktiraf sebagai warganegara Malaysia alasannya semata-mata kerana menentang UMNO. Berbagai tohmahan dan fitnah konon DAP nak menjual negara, rasis dan sebagainya. Inilah hasil sebuah kemerdekaan yang dicanang UMNO.
Tanpa mengira mana hujung jatuhnya masyarakat Islam di Malaysia kini melupakan segalanya hukum hakam Islam. Perundangan Islam berkubur disemadikan. Sebaliknya kemerdekaan negara menjadi buah mulut dan kebanggaan UMNO. Sehingga setiap tahun sanggup menghabiskan berjuta ringgit demi sebuah kemerdekaan yang entah ke mana hebatnya.
Polemik hudud masih terbuka buat segelintir Islam yang cintakan agamanya, tapi tenggelam oleh politik UMNO yang gilakan kuasa. Hudud hanya menjadi buah mulut tatkala hampir pilihan raya. Sedih bila Islam dan perundangan hudud dihina oleh bukan saja UMNO yang tolak hudud tapi oleh parti yang bersengkongkol dengannya iaitu MCA. UMNO sangat dayus dalam menentang keceluparan MCA ini. Sebaliknya lantang menentang PAS yang inginkan perlaksanaan hudud.
Malaysia sebuah negara merdeka dari penjajahan kolonial tapi terjajah pula oleh UMNO dan MCA dalam berbagai sudut. Media disekat, fitnah dihalalkan, pemimpin korup dilindungi, maksiat bertebaran, jenayah semakin menggusarkan malah penjenayah lebih canggih dari pembasminya. Agama diperlecehkan, kuasa digunakan sewenangnya. Apakah tujuan sebenarnya konteks strategi tersebut? Tidak lain dan tidak bukan sekadar demi mengekalkan kuasa politik.
Jika di negara maju perkara seperti ini tidak berlaku, malah sekiranya ada saja mana-mana kalangan pemimpin yang digosipkan dengan isu rasuah dan ada saja kemunasabahan, maka mereka dengan rela hati melepaskan jawatan, tanpa ragu. Tanpa perbicaraan di mahkamah. Malangnya perkara ini tidak berlaku di Malaysia.
Di negara maju juga setiap pemimpin harus berani berdepan dengan berbagai konflik dan cabaran dari pembangkang. Andai berdepan dengan pilihan raya sudah tentu para politician berdebat dengan calon yang menentangnya di khalayak, bukan sembunyi di balik tiang dan melepaskan angin saja. Kesannya orang lain yang terbau.
Pembangkang dilenyek dengan menggunakan berbagai instrumen kerajaan. Inilah realiti yang berlaku pada hari ini di Malaysia. SPR ada agendanya tersendiri untuk mengekalkan pihak yang berada di tampuk sekarang. Sementara pihak keselamatan digunakan bagi menghalang berbagai bentuk ancaman yang dapat memudaratkan parti yang memerintah. Manakala media digunakan untuk menangkis berbagai salah laku pemimpin dan berbagai laporan benar dipalsukan dengan bijak sekali. Walau kalah di medan mahkamah dalam setiap perbicaraan, namun media kerajaan bertali arus menyerang dan mencari salah pembangkang dan membetulkan kebobrokan yang berlaku dalam pimpinan parti kerajaan.
Harafiahnya, keseluruhan akan menggambarkan betapa kerajaan yang ada sekarang adalah yang layak tadbir negara. Sebaliknya pembangkang dinampakkan sebagai pihak yang tidak layak. Negeri tadbiran pembangkang menerima nasib yang agak kontras dan tidak adil. Segala hak negeri dan pembangunan prasarana semua ditandai dengan batu peringatan "Sumabngan Kerajaat Persekutuan". Seolah jenama ini diungkit untuk menimbulkan nama parti yang mentadbir. Secara tidak langsung dapat memberi kesan kepada rakyat. Walhal ini adalah tanggungjawab kerajaan yang mentadbir negara, bukan kerajaan yang ditadbir negeri.
Kesimpulannya, polemik Hudud, nilai kemerdekaan negara dan pilihan raya umum tidak lebih dari menjana tenaga bagi menghidupkan dan mengekalkan sistem parti kerajaan yang memerintah untuk terus berkuasa dan menolak sebarang bentuk ancaman yang menggugat kakuasaan politik yang mereka pegang. Itu saja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan