KURSUS yang menjurus pengetahuan ini wajar kita hadiri bagi membantu kita memahami dengan lebih mendalam lagi berkaitan 'siasah syariah'. Sama-samalah kita hadir, insyaallah...Jumpa disana terbang ke sana dari Kuching, Sarawak.
KOTA BHARU, 7 Sept: Sebelum ini ramai keliru apabila disebut sistem perundangan Islam. Malah lebih memalukan lagi apabila orang yang mengaku beragama Islam juga tidak memahaminya.
Sedangkan pelaksanaan Siasah Syariah merupakan satu cara pentadbiran dalam sistem pemerintahan Islam. Ia sebenarnya satu kaedah penentuan hukum atau metod ijtihad.
Bagi mereka yang keliru masih ada ruang untuk memahaminya. Ikutilah seminar Pelaksanaan Siasah Syar’iyyah Dalam Konteks Semasa Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 17 September ini.
Program peringkat kebangsaan itu dianjurkan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dengan kerjasama kerajaan negeri dan Tabung Amanah Tok Kenali akan diadakan Dewan Besar, Kompleks Balai Islam Lundang.
Program sehari itu terbuka kepada pegawai kerajaan, wakil rakyat, pemimpin politik, ahli akademik, pelajar, peguam, wakil pertubuhan bukan kerajaan dan mana-mana individu yang berminat.
Enam tokoh akademik dan politik akan membentang kertas kerja pada seminar tersebut iaitu Prof Madya Dr Abdul Aziz Hanafi, Dekan Kuliyyah Syariah KUIN, Tan Sri Syeikh Ghazali Abd Rahman (Penasihat Perundangan Syariah Jabatan Peguam Negara).
Selain itu, Prof Madya Dr Shukeri Mohamed (UM), Dr Abdul Basit Abdul Rahman (KIAS), Dr Mohd Fadhli Hassan (anggota Exco kerajaan Kelantan), Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin (USM).
Perasmian program itu akan disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan penutupnya Senator Datuk Dr Johari Mat.
Jurucakap penganjur berkata, seminar diadakan bertujuan merintis jalan mewujudkan garis panduan kepada pemimpin kerajaan bagi memastikan segala polisi bertepatan kehendak Siasah Syariah.
“Selain itu menonjolkan fungsi Siasah Syariah dalam konteks semasa khususnya dalam sistem pentadbiran, fatwa, ijtihad, kehakiman dan ekonomi ummah,” katanya di sini.
Mereka yang berminat menyertai seminar itu boleh menghubungi talian 09 712 9386/87 atau 013 530 5369 ((Ustaz Zulqarnain), 014 525 2959 (Ustazah Rosmini) atau seminarsiasah2011@gmail.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan