Subang pesaka nenek lumpuh dilarikan perompak
KUALA TERENGGANU: Seorang nenek berusia 81 tahun yang lumpuh kehilangan sepasang subang pesaka akibat dirompak oleh lelaki tidak dikenali di rumahnya di Kampung Titian Hangus di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.00 petang, mangsa Manong Salleh yang lumpuh bahagian pinggang ke bawah sedang duduk seorang diri sambil melipat baju sebelum didatangi oleh seorang lelaki yang pada mulanya disangkakan anak saudaranya.
Menurut mangsa, pada ketika itu pintu rumahnya yang uzur itu berkunci dari dalam, namun dengan mudah dapat dibuka oleh lelaki berkenaan.
"Lelaki yang menutup mukanya dengan tuala menyerbu masuk rumah dan kemudian terus mengilas tangan makcik ke belakang dan menyembamkan muka makcik ke lantai sebelum merentap subang pesaka yang diwarisi daripada arwah emak makcik, dan melarikan diri," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Subang itu dianggar bernilai RM800.Manong berkata telinganya cedera akibat diragut perompak itu. Beliau kemudian membuat aduan polis dengan bantuan seorang jiran.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K Manoharan yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan