Isnin, 22 Ogos 2011

Pelajar wanita tercampak dipukul ribut

KUANTAN — Seorang pelajar wanita nyaris maut apabila terpelanting ke dalam longkang selepas dipukul angin kencang di kawasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jengka, petang semalam.

Menurut mangsa, Hezreen Mohd Hanafi, 19, ketika kejadian beliau bersama-sama enam rakannya yang lain dalam perjalanan ke bilik masing-masing selepas selesai seharian menyertai program memasak bubur lambuk.

Menurut pelajar Diploma Kejuruteraan Awam itu, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, beliau dan rakan-rakannya sedang berjalan kaki menuju ke kampus penginapan.

"Pada masa itu hujan lebat diikuti tiupan angin yang sangat kencang. Saya nampak salah seorang rakan yang berjalan di hadapan melayang-layang ditiup angin kencang,” katanya kepada Bernama di sini.

Melihat keadaan itu beliau dan beberapa rakan lain bertindak berhenti seketika kerana bimbang kejadian buruk berlaku.

"Ketika sedang berteduh di laluan pejalan kaki itu, tiba-tiba saya tidak dapat mengimbangi badan dan dalam sekelip mata sahaja saya telah terpelanting jatuh ke dalam longkang sedalam tiga meter,” katanya yang cedera di kepala, kaki, tangan dan badan. — Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan