Tebrau view |
Penahanan dua wanita rakyat Singapura ketika cuba memasuki negara ini oleh pegawai Imigresen bertugas di kaunter pemeriksaan keluar, bangunan Sultan Iskandar Johor Baharu, Johor pada 9 Jun lalu adalah sah.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad berkata penahanan itu dibuat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang pas untuk masuk ke Malaysia.
"Kedua-dua mereka telah ditahan oleh pegawai Imigresen yang bertugas di kaunter pemeriksaan keluar kerana didapati tidak memiliki sebarang pas atau cop masuk ke Malaysia yang sah," katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Beliau mengulas laporan Malaysiakin semalam yang memetik akhbar harian Singapura, Lianhe ZaoBao yang melaporkan bahawa kedua-dua wanita berkenaan dibogelkan dan diarahkan melakukan ketuk ketampi sebanyak sepuluh kali selepas ditahan.
Tindakan seumpama itu pernah diisytiharkan sebagai “tidak berperikemanusiaan dan menghina” serta diarahkan dihentikan serta-merta oleh Suruhanjaya Diraja yang menyiasat Peraturan Prosedur Operasi Standard (IGSO) berhubung laporan mengenai pemeriksaan badan, ketika ditangkap dan dalam tahanan pada 2006.
Suruhanjaya lima anggota yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamad Dzaiddin Abdullah itu berkata amalan tersebut juga haram di sisi Syariah dan mencabul hak asasi manusia.
Alias berkata di bawah akta berkenaan, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Alias berkata kertas siasatan berkenaan kes itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 10 Jun lalu dan Timbalan Pendakwa Raya memutuskan kedua-dua wanita terbabit diusir ke Singapura dengan amaran.
Tindakan pengusiran telah dilakukan pada hari yang sama, katanya.
Source: Malaysia Kini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan