“Peres, kamu lebih tua daripada saya. Suara kamu terlalu tinggi. Kamu bunuh mereka. Saya masih ingat kanak-kanak yang mati di tepi pantai. Saya masih ingat dua bekas Perdana Menteri (Israel) berkata mereka gembira masuk Palestin dengan kereta kebal. Dalam soal membunuh, kamu terlalu bagus.”
Kenyataan sebegini amat jarang muncul di pentas bilateral antarabangsa. Saya berpuas hati menyaksikannya. Lebih berpuas hati kerana ia diungkapkan di bawah batang hidung tinggi Shimon Peras. Paling berpuas hati apabila yang menyebutnya adalah Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Turki semasa. World Economic Forum di Switzerland kali ini merakam sejarah yang luar biasa.
Tentu sahaja ungkapan ini disambut sebagai sebuah keperwiraan di kalangan kita. Sambutan yang sebelum menerima sokongan setiap kita yang tersentuh oleh Tragedi Palestin, telah disambut besar-besaran oleh rakyat Turki yang amat terbakar emosi mereka menyaksikan kekejaman regim Zionis di Gaza. Perasaan yang setanding dengan panasnya jiwa rakyat Turki ketika penghapusan etnik Bosnia Herzegovina oleh Serbia di era 90′an dulu.
Erdogan disambut sebagai seorang wira sejati, lelaki tulen, pemimpin sebenar, dan terlebih awal dari itu, sebagai Muslim yang Muslim.
Namun…
Tindakan Recep Tayyip Erdogan itu tidaklah secara mudah dikongsi dengan nada yang sama oleh media. Sama ada media antarabangsa, atau media Turki sendiri. Tanpa segan silu, pelbagai kenyataan dibuat dengan nada yang begitu pesimis, mengkritik tindakan Erdogan sebagai sebuah retorik, mencari populariti, menggadai kepentingan Turki malah segala isi perut laci dan kotak dironggah dengan membangkitkan satu demi satu isu, untuk menghentam Erdogan.
Tatkala membaca akhbar seperti Hurriyet, Aksam dan lain-lain, saya mual dengan kecaman-kecaman yang penuh unsur nifaq. Mempersoalkan nasib hubungan Turki – Negara Haram Zionis, imej Turki di mata Barat, masa depan Turki di EU, melabel kenyataan Erdogan sebagai anti-Semitik dan entah apa-apa lagi.
Media yang sama jugalah sebelum ini menuduh Erdogan sebagai Crypto-Jew, atau dalam bahasa kita, Musang Yahudi berbulu Ayam Muslim! Penerbitan buku “Moses’s Children: Tayyip and Emine” tulisan Ergun Poyraz memaksudkan Recep Tayyip Erdogan dan isterinya Emine Erdogan sebagai anak-anak Musa, dengan erti kata mereka ini sebenarnya adalah Yahudi yang bertopengkan segala identiti dari Islamist kepada seorang yang konservatif dalam perkembangan semasa mereka.
Namun, apa yang menjadi titik gusar di benak fikiran saya, adalah persoalan berkaitan dengan al-Harakah al-Muqawwamah al-Islamiyyah atau lebih dikenali sebagai HAMAS.
Tatkala Erdogan membidas kekejaman regim Zionis di Gaza, pelbagai soalan terbit dengan satu nada, “apakah kini Turki sudah pro HAMAS?”
Main tarik tali dalam pendakwaan dan penafian, belum berakhir, tetapi sesuatu yang pasti ialah, media sudah pun berjaya membina wajah HAMAS seperti yang dikehendaki. Bahawa biar pun seaktif mana HAMAS menyertai proses demokrasi di Palestin, dan dipilih oleh rakyat mengikut lunas demokrasi, HAMAS tetap HAMAS… ia kekal diwajahkan oleh arus perdana sebagai sebuah gerakan pengganas.
Justeru besarlah igauan mana-mana negara yang mahu mengkritik keganasan Zionis, kerana takut dilabel sebagai pro-HAMAS. Beban imej pro-HAMAS, bisa menjadi sebuah jenayah perdana yang menggugat kuasa.
Bingung saya untuk membuat konklusi terhadap entri ini. Mulut saya tidak henti-henti menyebut nama Hugo Chavez dan Recep Tayyip Erdogan, rindu kepada sebuah pendirian yang memikul ketinggian harga.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Ekspress Rakyat IPH – KL
Ulasannya, UMNO MENGGUNAKAN ISTILAH INI UNTUK DITUJUKAN KEPADA PAS YANG MENGADAKAN PEMILIHAN BARU-BARU INI DAN DIMENANGI OLEH GOLONGAN YANG DIKATAKAN BUKAN ULAMA, PADAHAL YANG MENARAFKAN ULAMA DAN BUKAN ULAMA DALAM KALANGAN PAS SEBENARNYA OLEH UMNO SENDIRI, PADAHAL MOHAMED SABU WALAUPUN BUKAN DITAKRIFKAN SEBAGAI ULAMA, SEBENARNYA KELIHATAN LEBIH ALIM DARI PEMIMPIN UMPORNO....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan