Rabu, 20 April 2011

Tipu: Datuk dihukum 26 tahun penjara

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dijatuhi hukuman penjara 26 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana didapati bersalah menipu dan memalsukan dokumen melibatkan RM12 juta milik dua Datuk lain dalam kes penipuan pelaburan lima tahun lepas.
Bagi tuduhan pertama, Datuk Paiman Shakimon, 52, diperintahkan menjalani hukuman penjara lima tahun kerana menipu ahli perniagaan Datuk Rosidi Kamaruddin, 59, setelah mendorong mangsa menyerahkan lebih RM3.8 juta dalam skim pelaburan palsu dikenali sebagai "Program Roll-Over", yang kononnya diluluskan Bank Negara.

Paiman dari Country Heights, Kajang, dihukum penjara lapan tahun kerana kesalahan serupa - sebagai ganti bagi tuduhan ketiga - melibatkan RM8 juta yang diterimanya daripada Datuk Liew Teck Keong, 56.

Mengenai kesalahan memalsukan dokumen berhubung tuduhan kedua dan keempat, Paiman dihukum penjara lima tahun kerana memperdayakan Rosidi dan lapan tahun penjara berkaitan kes melibatkan Teck Keong.

Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh memerintahkan hukuman bagi kesalahan pertama dan ketiga berjalan secara berturut-turut berkuat kuasa semalam manakala hukuman bagi kesalahan selebihnya berjalan secara serentak.

Berikutan keputusan itu, Paiman hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 13 tahun. Paiman melakukan semua kesalahan itu di Hotel Nikko, Jalan Ampang di sini antara Mei 2005 dan November 2006. - Bernama

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code